Tuesday, November 17, 2009

ATM...Oh, ATM...!



Funny Myspace Comments
Hiasan: Seronoknya Si Meow melihat cik CT beraksi sebelum di 'ngap'...

Assalamu'alaikum..........

Di pagi hari Jumaat ni terasa mood macam nak menulis surat pulak, tapi surat ni pasti tak dapat layanan segera punya... OK.... Ummi tulis sebuah kisah pendeklah ya...

Kisahnya bermula ketika anak ummi nak mengeluarkan duit dari mesin ATM Bank Islam di UIA cawangan PJ, sehari sebelum Hari Raya Haji ari tu... Tiba-tiba pulaklah mesin tu buat hal, jumlah pengeluaran yang tertulis pada resit dari mesin ATM tu memang betul ($50.00- maklumlah student mana ada duit nak keluarkan banyak-banyak, kan..?), tetapi, selepas 'ditunggu punya tunggu', anak ummi yang seorang ni naik hairanlah, mengapa tak keluar keluar lagi duit dari ATM tuu..? Dengan perasaan hampa,kecewa dan 'angin' lah, (selepas menepuk-nepuk mesin tu 2,3 kali, kalau-kalau duitnya nak keluar...) anak ummi pun terpaksalah menapak keluar UIA dan menggunakan mesin ATM yang lain untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaan membeli tiket bas balik ke rumah...penyata transaksi menunjukkan $50.00 sudahpun ditolak dari jumlah akaun tidak termasuk jumlah yang baru dikeluarkannya......alkisahlah.

3 hari yang lalu ummi berada di hadapan sebuah mesin ATM Am Bank di Jaya Jusco Melaka, kerana nak mengeluarkan duitlah, untuk berbelanja di situ. Berkebetulan pada masa yang sama ada seorang wanita dalam keadaan yang amat resah di tepi mesin ATM tersebut memandang-mandang ke arah ummi sambil bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya. Setelah 'menangkap' beberapa patah perkataan dari perbualan beliau, ummi pun mengundurkan diri dari mesin ATM tersebut...! Aduhai.., rupa-rupanya mesin tu buat hal juga... Cik kak kita ni mengeluarkan wang berjumlah $200.00 dari akaunnya melalui ATM Am Bank tersebut, tetapi yang keluar hanyalah resit yang tercatit baki akaun yang telah ditolak $200.00 tetapi wangnya tidak muncul-muncul..! "Tak dapeklah den nak nolong....", bisik hati ummi...

Setelah seorang remaja berjaya mengeluarkan wang dari mesin ATM yang sama, ummi mencuba nasib dengan mengeluarkan sebanyak $100.00 'sebagai bahan ujian' (macam saintis la pulak..) apa-apa hal taklah terbeban sangat jika mesin tu 'kapur' wang tersebut. Bismillahirrahmaanirrahiim..........dan, Alhamdulillah, dapat pulak duit tu keluar. Cik Kak tadi menghampiri ummi bertanya berapakah jumlah wang yang keluar dari mesin ATM tersebut? Dengan perasaan kurang selesa tetapi kerana memahami situasi yang dihadapi oleh beliau, ummi menjelaskan ummi hanya mengeluarkan $100.00 sahaja dan itulahjumlah yang keluar dari mesin tersebut. Cik Kak tersebut beriya-iya lagi bertanya adakah betul itu duit ummi atau duit beliau, kerana beliau curiga kalau-kalau duitnya lambat keluar dari mesin ATM dan keluar sewaktu ummi mengadap mesin tersebut, aduhai...! "Ada muka pencuri ke aku ni..?" sekali lagi hati ummi berbisik geram...tetapi tetap mengasihani cik kak kita tu..

Moral dari kedua kisah di atas adalah, berhati-hati semasa mengeluarkan wang dari mana-mana mesin ATM. Mulakan dengan jumlah yang sedikit dahulu yang termampu ditanggung sekiranya wang tersebut tidak keluar (Bunyinya macam nak main saham jer... "modal/kerugian yang termampu ditanggung..."). Sentiasalah menekan butang atau panel 'memerlukan resit urusniaga' sewaktu berurusan dengan mesin ATM. Langkah-langkah di atas adalah sebagai persediaan sekiranya wang kita 'dikapur' atau 'ditelan' oleh gergasi ATM ni, kita dapat melapurkan segera kepada pihak bank bagi mendapatkan penjelasan dan jika bernasib baik kita akan mendapat balik wang yang 'ditelan' sewaktu transaksi tersebut. Sekiranya berlaku perkara seperti di atas, segeralah membuat lapuran kepada bank di mana kita membuka akaun dengannya,dan ikuti nasihat atau tindakan lanjut yang disarankan oleh pihak bank. Pada setiap mesin Atm terdapat talian khidmat pelanggan (jika berfungsi) untuk kita hubungi sekiranya berlaku permasaalahan yang berkaitan dengan mesin tersebut.

Meskipun demikian, secara perbadi ummi berpendapat, pihak bank terbabit (tuan punyer mesin ATM ler..!!!) perlu, malah amat perlu melakukan penyelenggaraan sekerap mungkin terhadap mesin-mesin ATM mereka, terutama di kawasan yang melibatkan jumlah transaksi yang tinggi, memandangkan setiap transaksi yang dilakukan bukanlah diberi secara percuma, terutama jika akaun pengeluar tidak sama dengan bank induk mesin ATM tersebut, di mana 'minimum charges' yang dikenakan bagi setiap transaksi adalah di antara $1.00(bagi bank-bank tempatan seperti Mayban, Bank Islam, Ambank dll) hingga $4.00(bagi bank-bank luar negara contohnya Al-Raghi).

Kejadian seumpama ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja. Bayangkan kesusahan yang timbul dan terpaksa dihadapi oleh pelanggan yang mengalami situasi seperti di atas. Apa akan terjadi sekiranya wang yang dikeluarkan tersebut perlu digunakan untuk menyelesaikan pembayaran tertentu dalam waktu yang begitu suntuk (pembayaran bil-bil hospital swasta -untuk membayar kos terbabit bagi menuntut jenazah umpamanya, untuk membeli kelengkapan jenazah, untuk membayar tiket penerbangan, malah berbagai lagi).

Jangkamasa seminggu terjadinya 2 kes rawak yang berlaku pada keluarga ummi dan di hadapan ummi adalah sesuatu yang amat tidak patut dalam sistem perbankan di tanah air. Berapa banyakkah kes-kes serupa berlaku di luar sana yang tidak melibatkan diri atau keluarga kita? Tanggungjawab pihak bank sebagai pihak yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan amatlah perlu dilaksanakan secara menyeluruh di mana pemeriksaan dan penyelenggaraan mesin-mesin ATM secara berkala dan kerap patut dilakukan secara lebih efisyen. Semoga luahan rasa pelanggan diambil peduli oleh pihak yang berkaitan dan tidak hanya mementingkan nilai dan keuntungan komersial semata-mata, tanpa kualiti yang sepatutnya.


Wassalammmm..........

Monday, November 16, 2009

Yang Dinantikan Telah Tiba...

Tanggal 31hb Oktober 2009, merupakan hari bersejarah kerana berlangsungnya majlis restu dan Graduasi bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 di Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghaffar Baba di Jasin Melaka. Pada malam hari sebelumnya (30hb Okt), ummi dan babah bergegas pulang ke Kuala Lumpur dari Miri Sarawak, untuk menghadiri majlis bersejarah 'adik', anak ummi dan babah serta rakan-rakan seperjuangannya. Dari Kuala Lumpur ummi dan babah bergegas pula pulang ke Melaka sekitar jam 2:30 pagi setelah singgah sebentar di Banting untuk bertemu Mak Nong yang akan ke Tanah Suci Mekah pada keesokan harinya.

Sebulan lamanya ummi tidak dapat menatap wajah adik sepanjang peninggalan ummi dan babah ke Sarawak. Bagaimanapun ummi dan babah gembira kerana pada Hari Raya Puasa yang lalu kita sempat berkumpul dan bersama-sama memasak rendang Tok, pulut kuning dan biskut-biskut kegemaran adik dan abang, iaitu choklat chips, makmur, dan tat nenas. Sementelah pula kita beraya di rumah 'nenek Banting', berbagai juadah yang dibawa oleh pakcik-pakcik dan makcik dari sebelah babah yang kita dapat makan bersama, termasuklah nasi berlaukkan rendang udang, rendang ayam, lemang dan ketupat bersama serunding daging dan ayam, berbagai jenis kek dan biskut, ah... cukup meriah! Yang penting keluarga besar kita dapat berkumpul bersama dan menyimpul erat silaturrahim!

Berbalik pada cerita majlis restu dan graduasi MRSM TGB, ummi dan babah tiba agak lewat, iaitu sewaktu bacaan Yaasin sudah hampir tamat. Bagaimanapun kami masih sempat melakukan solat hajat berjemaah bersama ibu bapa dan jemputan lain pada pagi tersebut. Alhamdulillah... semoga Allah s.w.t. memberkati usaha anak-anak pelajar semua dan semoga doa kita untuk mendapat restu dan pertolongan Allah agar segala urusan berkaitan peperiksaan SPM anak-anak pelajar dipermudahkan Allah Azzawajalla, dan semoga anak-anak semua akan mencipta sejarah kegemilangan akademik sekali lagi pada peperiksaan tahun ini...!

Selesai solat hajat, ummi tercari-cari di mana pula adik berada...? Sedangkan sebelumnya sudah beberapa kali adik 'sms' ke 'handphone' ummi dan babah, bertanyakan lokasi kami. Ish.. Rindunya hati ummi pada adik Allah s.w.t sahaja yang tahu.. Semasa di Sarawak sudah acap kali pipi ummi basah kerana merindui adik dan abang..! Bukan tidak pernah berpisah, malah dari tingkatan 1 hinggalah adik di tingkatan 5 sekarang dan abang pun sudah berada di UIA, kita sudah terbiasa dengan perpisahan demi perpisahan kerana ke dua-dua abang dan adik belajar di sekolah berasrama. Tapi... entahlah, mungkin begitu sifatnya hati seorang ibu, kala rindu terhadap anak-anak mengasak jiwa, air mata begitu cepat mengalir...

"Ummi.....!" Ops, suara adik menerpa ke telinga..! Pantas mata ummi mencari dan... nah! Itu dia anak ummi dengan berbaju Melayu ungu, siap bersongkok dan bersampin songket, segak sungguh pada pandangan ummi. Ummi melepaskan rindu pada adik.. Lama jugak ummi memeluk adik, sehinggakan ibu-bapa dan rakan-rakan pelajar yang lain memandang kami kehairanan. Biarkan, mereka tidak mengerti apa yang ummi rasa. Rindu ummi pada adik seluas lautan. Cuma ummi perasan badan adik agak susut dan muka adik agak cengkung... ditumbuhi sebaris kumis jarang dan sejemput janggut liar... Patutlah sewaktu mula bertemu adik, ummi terperasan seolah adik begitu tinggi, rupanya adik agak kurus sehingga menonjolkan lagi ketinggian adik.

"Adik, mengapa kurus ni...? Tak cukup makan ke? Atau diet..?" Hati ummi mula risau andaikata wang saku adik tidak mencukupi untuk menampung selera adik yang semakin remaja dan terkenal dengan sifat sukakan aktiviti lasak.

Adik tergelak dan memegang erat tangan ummi, " Tak adalah... Adik cuma kurang makan dan tak cukup tidur sikit... Sekarang adik dan kawan-kawan terpaksa pulun study mi.. Exam dah terlalu dekat.. Adik kena study lebih la.."

"Malam adik stay up sampai pukul berapa?"


"Pukul 4, paling lewat pukul 5..."
Jawab adik sambil mencium tangan dan memeluk babah yang baru sampai ke tempat kami.

"Nak ganti Nik Nur Madihah ke? Anyway... lewat sangat tu dik," sampuk babah setelah melepaskan pelukan adik.

"Terpaksalah bah, adik ada sikit lagi nak cover ni..."


"Hmm..... tu laa, babah dan ummi dah nasihatkan, belajar dari awal tahun, supaya tak perlu struggle macam ni..."


"InsyaAllah bah, ummi, doakan adik ok..?"


"Jangan risau, ummi dan babah memang selalu doakan adik. Cuma adik tuu... banyak sangat aktivitinya, patutnya dah naik form 5 ni, slow la sikit.." Ummi sengaja bagi adik 'peluru berkarat', namun adik hanya menjawab dengan senyuman.

Sementara menunggu upacara graduasi pada pukul 2:00 petang, babah mengajak adik menjamu selera di luar maktab, walaupun sebenarnya pihak maktab telahpun menyediakan makanan dan minuman untuk ibu bapa dan keluarga pelajar yang hadir pada majlis tersebut. Biarlah bahagian kami itu diambil oleh keluarga pelajar lain yang datang bersama anak-anak mereka.

Tiba-tiba adik mengajak ummi ke biliknya dahulu sebelum keluar makan ke pekan Jasin. Babah pula menjadi penunggu setia di dewan bersebelahan surau TGB.

"Buat apa ke bilik adik?"

"Alaa... jomlah sekejap, adik nak bagi ummi sesuatu!" Kata adik sambil senyum mengulum.

"Ish...apa pulak adik ni.." Ummi tertanya-tanya dalam hati sambil berjalan menuju ke bilik adik.

"Haa.. Inilah yang adik belikan kat ummi..., bagus untuk belakang ummi tu!" Kata adik sambil tangannya mengambil sesuatu dari dalam almarinya.

Adik membuka balutan plastik pada
alat penyandar belakang yang boleh disarungkan kepada kerusi, lalu mencubanya ke belakang ummi. Alat ini berfungsi memberi sokongan kepada belakang (tulang belakang) supaya supaya membentuk 'posture' yang lebih selesa ketika duduk di kerusi.

"Adik.......!" Tiba-tiba ummi dapat merasakan kolam mata ummi mula berair...

"Ummi tak suka?" Tanya adik.

"Adik mintak tolong kawan adik belikan ni ummi, adik tengok dia gunakan waktu belajar, so adik teringat belakang ummi sakit and alat ni memang bagus untuk support lumbar ummi tu.. Ummi bawak balik rumah ya..?" Gesa adik.

"Dik, mengapa berhabis duit untuk ummi, duit poket adik bukan banyak sangat pun, cukup untuk makan minum adik je.. Tak perlu adik bazir duit untuk ummi dik..!" Ummi menahan sebak.

"Adik tahu ummi selalu sakit. Ummi selalu sorok dari adik... Adik tak mampu ubatkan ummi, tapi ummi gunakanlah alat ni, supaya belakang ummi tak sakit sangat sewaktu ummi duduk ya..? Then...ummi jangan angkat benda-benda berat kat rumah tu... Ummi jaga diri tau.." Adik memegang bahu ummi dan merenung mata ummi seolah meminta kepastian.

"ok dik, ok.. ummi janji .." Sekali lagi ummi memeluk erat adik. Begitu kasihnya hati adik terhadap ummi, walaupun adik terkenal dalam keluarga sebagai anak yang jarang menunjukkan kesedihan dan sentiasa cuba menunjukkan kekuatan dirinya sebagai anak lelaki. Hati ummi berdoa semoga Allah memberkati anak ummi ini, dalam setiap detik kehidupannya. Semoga Allah mengasihi adik di atas kasih sayang adik terhadap ummi, ibunya.

"Jom ummi, kita keluar makan, kesian babah dah lama menunggu kita..," gesa adik sambil menarik tangan ummi keluar menuju ke arah babah.

Pemberian adik ummi tunjukkan kepada babah. Babah tidak berkata apa-apa melainkan menggosok-gosok belakang adik...

"Adik nak makan apa..?" Tanya babah sebaik kami masuk ke kereta.

"KFC boleh, bah?

"Boleh..Tapi ini last ya, sehingga adik habis exam?" Babah bersetuju tetapi bersyarat. Memang babah selalu begitu. Namun semuanya untuk kebaikan adik juga. Kami tidak menggalakkan anak-anak banyak mengambil makanan segera kerana bahan perisanya terlalu tinggi dan tidak baik untuk perkembangan kesihatan.

Setiba di KFC memang ramai pelajar-pelajar TGB bersama ibu bapa mereka makan di situ. Kami makan dan adik turut membawa pulang 'tapau' KFCnya ke maktab.

Pukul 2:00 petang, semua ibu bapa berkumpul di dalam dewan diikuti perarakan masuk graduan, termasuk adik, diiringi paluan gamelan. Para graduan berpakaian jubah merah lengkap dengan topi graduasi mereka. Sungguh segak dan manis. Seorang kenamaan dari parti politik kerajaan dijemput untuk menyampaikan 'scroll'. Namun majlis graduasi terpaksa bermula sejam kemudian kerana kelewatan beliau yang terpaksa menghadiri mesyuarat penting. Turut menyampaikan 'scroll' pada hari itu adalah beberapa penjawat penting dari Majlis Amanah Rakyat dan Pengetua Maktab.

Memang meriah majlis graduasi adik dan rakan-rakannya. Ia telah menjadi tradisi bagi setiap MRSM di seluruh negara. Sewaktu adik belajar di MRSM Mersing (Johor) dahulu, adik juga telah menghadiri majlis graduasi untuk pelajar-pelajar tingkatan 3. Waktu itu ummi pernah mengusik adik, sebaik selesai kami bergambar kenangan di luar dewan.

"Dik..tengokkan graduasinya memang meriah dan seronok... Nanti masa keluar keputusan PMRnya agak-agak seronok jugak ke..?"

"Hehe..." Adik hanya tergelak panjang.

Namun, alhamdulillah, akhirnya adik berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A sehingga terpilih pula meneruskan pengajian di MRSM TGB ini bersama 80 orang rakan yang lain. Syukur padaMu ya Allah...

Hari ini majlis dan situasi yang sama berulang di sini, di TGB. Graduan-graduan tahun 5 ini dinobatkan sempena pencapaian mereka dalam peperiksaan Semester mengikut pencapaian merit tertentu. Terdapat beberapa orang pelajar yang tidak dapat graduasi kerana pencapaian di bawah syarat. Ummi hairan mengapa mereka tidak layak, sedangkan mereka yang dipilih belajar di sini kesemuanya memperolehi minimum 8A dalam PMR mereka. Mungkin mereka sakit atau ada alasan-alasan tertentu. Kita memang tidak dapat mengatasi takdir Allah. Bahkan, masih ada masa untuk mereka mengulangkaji dan berjuang bersungguh-sungguh untuk masa depan mereka. Ada 2 minggu lagi masa untuk mereka meneruskan ulangkaji...

"Ummi..!" Babah mematikan lamunan ummi.

"Sekarang giliran adik ke pentas! Cuba tengok di screen besar tu... Biodata adik laa.. Tengok, cita-citanya...Chiropractor! Setakat ini babah tengok di screen tu, hanya adik sahaja yang bercita-cita demikian.." Sambung babah sambil menunjuk ke arah 'screen TV' besar di kiri kanan pentas.

Terkesima juga ummi membaca biodata adik. Sehingga berakhirnya majlis graduasi itu, berbagai kerjaya yang hebat dipaparkan sebagai impian setiap pelajar. Hanya adik seorang sahaja yang bercita-cita menjadi kiropraktor (pakar sakit tulang). Ummi dapat rasakan ini semua berkait rapat dengan penyakit yang ummi deritai, iaitu 'slip disc' (sakit tulang belakang). Adik (dan abangnya) )pernah berkata mereka akan 'buat apa saja' asalkan ummi sembuh. Adik (dan abang) pernah mempelajari teknik urutan refleksologi kerana mahu membantu melegakan sakit belakang ummi. Memang mereka mahir dan banyak melegakan sakit ummi di waktu terdesak.

"Adik bercita-cita menjadi kiropraktor untuk mengubati ummi..!" Bisik hati ummi.

Ada gambar adik dipaparkan di 'screen' besar itu. Malah sebelum adik naik ke pentas pun pihak maktab menayangkan banyak aktiviti-aktiviti pelajarnya termasuk beberapa keping gambar adik sewaktu mewakili kelas dan maktab dalam projek-projek sains. Ada pelajar-pelajar TGB yang berjaya mewakili maktab dan negara ke peringkat antara bangsa serta terus ditawarkan belajar di beberapa universiti di Amerika Syarikat,pada tahun 2009 ini, sebelum mereka sempat menduduki peperiksaan SPM 2009 pun! Bertuahlah ibu bapa yang anaknya begitu 'bergeliga otaknya' dan tekun berusaha sehingga mendapat pencapaian sebegitu rupa.... Tahniah ummi ucapkan kepada mereka dan semoga mereka terus mencipta sejarah kejayaan demi agama, keluarga, bangsa dan negara.

Walaupun adik tidak secemerlang mereka, ummi tetap bersyukur dengan usaha adik mentelaah pelajaran bermula dari pertengahan tahun. Walaupun sudah berkali-kali ummi menggesa adik supaya memulakannya dari awal tahun lagi, jadual aktiviti adik memang penuh. Ummi memang tahu sifat adik yang suka beraktiviti. Selain menjadi Bedahari Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di TGB, adik juga menyertai pasukan Kadet Bersatu (adik menjuarai larian berhalangan yang di adakan di Kem Terendak, Melaka, dan sepatutnya mewakili maktab ke peringkat kebangsaan, tetapi tidak dibenarkan oleh maktab kerana peperiksaan SPM semakin hampir). Semasa adik di MRSM Mersing dulu pun, adik sering mewakili maktab dalam acara memanah, hingga berjaya ke peringkat negeri. Ini tidak termasuk kelab-kelab lain yang adik sertai yang ummi kurang arif mengenainya. Malah, sewaktu di TGB, adik menubuhkan kumpulan pancaragamnya sendiri yang terdiri dari rakan-rakan pelajar maktab tersebut. Di rumah, adik mempunyai 2 buah gitar yang sering dipetiknya saban malam, di kala cuti semester. Pening kepala ummi memikirkan keaktifan adik, terutama di saat menjelangnya peperiksaan SPM ini.

Majlis Graduasi hari itu berakhir dengan meriah dan menyimpan seribu satu memoir indah di hati para pelajar dan ibu bapa mereka, termasuk adik, ummi dan babah. Selesai majlis, kami sempat merakam beberapa keping gambar pada sesi fotografi berbayar di luar dewan, sebagai kenangan. Kami tinggalkan adik bersama rakan-rakannya yang lain untuk meneruskan perjuangan mengulangkaji pelajaran, di saat-saat genting mereka sebagai bekalan menghadapi peperiksaan SPM, yang tinggal 2 minggu lebih sahaja lagi.

Malam semalam, 16hb November, pukul 10:00 malam, adik menalifon ummi dan memohon restu dari ummi dan babah supaya mengampuni segala dosa-dosa adik sekiranya ada.. Adik memohon agar ummi dan babah mendoakan kejayaan adik, agar dipermudahkan urusan adik sepanjang musim peperiksaan. Terdengar adik menangis di hujung talian telefon... Adik risau andaikata adik tidak dapat mencapai keputusan sebagaimana yang diharapkan... Beriya-iya adik menangis....

"Adik nak bagi ummi keputusan exam yang terbaik! Tapi adik takut... Adik tak nak ummi kecewa..!" Berkali-kali adik mengulangi perkataan ini...

Ummi faham perasaan adik! Ummi tahu, setiap anak mahu menghadiahkan yang terbaik buat ibu bapanya... Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa-doa adik. Ummi dan babah telah memaafkan dan mengampuni semua dosa-dosa adik sekiranya ada, kami mendoakan yang terbaik buat adik untuk kehidupan dunia dan akhirat adik. Adik tidak perlu risau jika adik telah berusaha sebaik mungkin... Jawablah soalan-soalan peperiksaan itu dengan tenang dan yakin. Apapun keputusan yang tiba kemudiannya adalah dari Allah s.w.t. Setelah kita benar-benar berusaha, kita berserah pula kepada Allah menentukannya. Ummi dan babah tidak pernah meminta lebih dari kemampuan adik.

Esok, 18hb November 2009, melangkahlah adik dengan penuh keyakinan ke dewan peperiksaan. Tumpukan segala perhatian dan buatlah yang terbaik. Ummi dan keluarga mendoakan agar adik dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan semoga Allah s.w.t. membantu adik serta memberikan kejayaan buat adik....! Jagalah kesihatan adik serta bersolat hajatlah pada Allah pada setiap malam. Bermohonlah padaNya..! Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia Yang Maha Bijaksana! Mohonlah! Semoga dengan dzatNya, adik dirahmati dan diberkati. Adik.. Ummi dan babah merestuimu..! Semoga ALLAH s.w.t bersama adik, Mohamad Aqbar Emir, dan rakan-rakan seperjuangan adik di TGB dan di seluruh pelusuk negara. Kami mendoakan agar anak-anak semua sihat, selamat dan berjaya dalam peperiksaan SPM ini.

Salam sayang dari ummi, babah dan abang, istimewa buat adik...!




DOSA: Sejarah, Kesan Dan Cara Memohon Keampunan

Sejarah Dosa
Sejarah bermulanya dosa berlaku dari penentangan iblis di syurga terhadap perintah Allah s.w.t tehadapnya dan malaikat agar tunduk dan sujud kepada Nabi Adam a.s. Keengganan iblis telah menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t. Sifat sombong dan takbur iblis itu telah menyebabkan Allah s.w.t. menghalaunya keluar dari syurga sebagaimana firman Allah s.w.t:


"Turunlah kamu dari syurga itu kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk golongan yang hina" (Al-A'raf :13).

Sementara itu, Nabi Adam a.s telah melakukan dosa pertama sebagai manusia apabila tertipu dengan helah iblis supaya cintakan nafsu, harta dan keabadian hidup dengan memakan buah Khuldi (di dalam syurga) yang telahpun dilarang Allah s.w.t. dari memakannya. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

"Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya dengan berkata: Hai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon khuldi (pohon kekekalan) dan kerajaan yang tidak akan binasa?" (Taha:120)

Ternyata iblis sendiri tidak berani memakan buah larangan tersebut dan dia hanya berbohong kepada Adam dan isterinya semata-mata agar mereka melanggar perintah Allah s.w.t. Ia menjadi pengajaran kepada umat manusia seterusnya supaya berwaspada dengan cara syaitan dan iblis menyesatkan manusia pada saat hati manusia kosong dari iman, sedangkan manusia terlalu menginginkan kesenangan dan kehidupan abadi. Dengan melanggar syari'at Allah s.w.t, Adam a.s dan Hawa isterinya telah dimurkai Allah s.w.t. dan diturunkan ke bumi dan melalui kehidupan yang derita dan sengsara, berbanding kehidupan mereka yang bahagia dan penuh kemuliaan di syurga. Menyedari kemurkaan Allah s.w.t, Adam a.s telah bertaubat nasuha dan dan taubatnya diterima Allah s.w.t sebagaimana firmanNya:

"Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Al-Baqarah:37)

Dosa pertama di dunia telah berlaku apabila iblis berjaya menyesatkan anak lelaki Adam a.s iaitu Qabil, supaya membunuh saudaranya Habil. Qabil membunuh Habil apabila ia tidak puas hati dan cemburu dengan Habil yang akan dikahwinkan dengan saudara kembar Qabil yang rupawan. Peristiwa ini tersebut dalam firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah:27-31.

Sesungguhnya syaitan atau iblis sentiasa menjalankan tipu daya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan umat manusia, sebagaimana janjinya kepada Allah s.w.t, kecuali mereka yang patuh kepada Allah s.w.t seperti firmanNya yang bermaksud:

"Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka." (Shad:83)

Manusia yang engkar pada perintah Allah s.w.t. dan terus menerus bergelumang dalam kesesatan, kezaliman, kefasikan akan mudah dikuasai oleh syaitan, dan menjadi sebahagian dari tentera iblis yang amat setia dalam mempengaruhi menusia lain ke arah jalan yang menyesatkan. Tokoh-tokoh "manusia syaitan" ini terlalu ramai dalam kehidupan masyarakat hari ini. Di antaranya para ulama yang berbuat bid'ah, dukun yang penipu, pemerintah yang zalim dan sebagainya. Mereka mencari keuntungan dunia dan memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata.

Manusia sering diperingatkan agar menjauhi dosa kerana azab dan siksaan dari Allah s.w.t bagi yang melakukannya teramat pedih. Di antara Firman Allah s.w.t ialah:

"Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa akan diberi pembalasan (pada hari kiamat) disebabkan apa yang telah mereka kerjakan" (Al-An'am:120)

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya kami hapuskan kesalahanmu (dosa-dosa kecil), dan kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)" (An-Nisa':31)

"Maka bersabarlah kamu dalam melaksanakan ketetapan Tuhanmu dan jangan kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka" (Al-Insan:24)

Jenis-jenis dosa
Berdasarkan keterangan dari Al-Quran dan hadis, dosa terbahagi kepada dua,iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan berat atau ringannya siksaan yang diterima apabila melakukan dosa tersebut. Bagaimanapun, dosa-dosa kecil itu jika dibiarkan, ia akan sering dilakukan dan menjadi perangsang untuk melakukan dosa-dosa besar yang amat berat siksaannya.

Sekecil-kecil dosa adalah perkataan yang lahir di dalam hati. Manakala dosa-dosa besar pula di antaranya adalah menyekutukan (menduakan) Allah s.w.t, membunuh manusia dengan sengaja, meninggalkan solat, meninggalkan puasa di bulan Ramadhan, berzina, meminum arak, homoseks, memakan harta anak yatim, berjudi, membunuh diri, anak yang mendurhakai ibu bapanya, isteri yang mendurhakai suaminya, memakan makanan yang diharamkan Allah, lelaki yang mengahwini kembali isterinya setelah ditalaq tiga sebelum isterinya berkahwin lain dan diceraikan oleh suami barunya, lelaki yang menyerupai perempuan dan sebaliknya, membuat patung dan banyak lagi.

Kesan dari perlakuan dosa

Bagi orang yang melakukan dosa, mereka telah melanggar perjanjian awalnya dengan Allah s.w.t. sewaktu masih di alam roh dahulu. Kepastian janji ini di sebut oleh Allah dalam firmanNya yang berbunyi:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak Adam dari sulbi mereka dan Allah s.w.t. mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (sambil berfirman) 'Bukankah Aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab, 'Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.' Kami lakukan yang demikian itu agar di hari Kiamat kamu tidak mengatakan 'Sesungguhnya kami Bani Adam adalah orang-orang yang lengah terhadap hal ini (KeEsaan Tuhan)." (Al-Alaf:172)

Apabila manusia dilahirkan ke dunia, dengan senang mereka melupai janji-janji pada Allah s.w.t. yang mencipta mereka kerana mereka mempunyai sifat pelupa. Hanya mereka yang mengikut ajaran nabi dan rasul sahaja yang akan mengingati kembali perjanjian mereka serta sujud menyembah Allah s.w.t. kerana mereka inilah yang membawa pengajaran dan peringatan dari Allah kepada hambaNya supaya tidak sesat atau berbuat dosa. Firman Allah s.w.t:

"Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang sebelum mu, agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah:21)

Semakin banyak seseorang itu melakukan dosa, semakin nipislah darjat keimanannya serta semakin kuranglah rahmat yang diterimanya dari Allah Yang Maha Pencipta. Sedangkan nur iman dalam diri seseorang manusia itu sentiasa berubah-ubah mengikut tahap amalan yang dilakukannya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Barangsiapa yang berzina atau meminum arak, maka Allah mencabut imannya sebagaimana seseorang melepaskan bajunya melalui kepalanya" (Hadis riwayat Hakim)

Sesungguhnya Islam adalah agama yang benar di sisi Allah s.w.t. Ia mengatur kehidupan manusia dengan cara yang lebih sempurna baik dari segi hubungannya dengan Tuhannya Yang Maha Mencipta mahupun sesama manusia.
Walau sehebat manapun seseorang manusia itu, segala keuntungan dan nikmat adalah dari Allah Yang Maha Pemurah. Justeru semuanya bersifat fana' (sementara). Dia sentiasa memerlukan perhubungan dengan Penciptanya Allah s.w.t. untuk memohon rezeki dan menyatakan kesyukurannya. Dalam mengadakan hubungan dengan Allah s.w.t. manusia diseru supaya bersolat. Sedekat-dekat manusia pada Allah s.w.t. adalah sewaktu mereka sujud dan diwaktu inilah kita digalakkan berdoa. Namun, bagi mereka yang sering kelalaian, mengingkari perintahNya dan melakukan dosa tanpa bertaubat, maka terputuslah hubungannya dengan Allah s.w.t. Mereka akan diliputi kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t. Manusia yang berdosa tidak akan diterima doanya oleh Allah s.w.t. kerana mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang derhaka dan melampaui batas.

Hati orang yang berdosa akan keresahan dan tidak tenteram. Penyakit rohani ini akan mengganggunya dari merasai kebahagiaan dan ketenangan hidup. Mereka membiarkan diri berada di dalam genggaman syaitan dengan membiarkan nafsu menguasai jiwa mereka. Manakala syaitan pula mengambil kesempatan ini untuk mendorong mereka melakukan dosa-dosa kecil dan besar. Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya:

"Dan aku tidak membebaskan diriku dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruhku kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yussuf:53)

Manusia adalah makhluk yang tidak mampu hidup sendirian, baik dari segi kejiwaan mahupun hubungan sosial. Allah s.w.t. mencipta manusia dalam bentuk sendiri, kemudian diciptakanNya pasangan lalu berkembang dan menjadi ramai sehingga membentuk institusi keluarga dan masyarakat global. Manusia perlu saling berkait dan bantu membantu dalam membentuk peradaban mereka. Namun hasil dari desakan jiwa orang-orang yang berdosa ini, mereka sentiasa mencari jalan ke arah perpecahan sesama manusia, menganiaya serta menindas di antara satu sama lain. Merekalah yang mencipta kerosakan di bumi Allah ini. Walaupun Allah s.w.t. telah mencipta manusia dengan mertabat yang tinggi, namun disebabkan keangkuhan mereka serta ketaksuban mereka dengan hasutan syaitan, mereka telah menjadi hina dan Allah s.w.t. telah merendahkan golongan yang berdosa ini lebih rendah dari mertabat binatang! Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia itu dalam sebaik-baik kejadian, kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya" (At-Tin:4-5)

Allah s.w.t. akan memperingati dan menghukum hambaNya dengan berbagai cara. Di antara peringatan dan hukuman yang amat ditakuti oleh manusia yang masih hidup adalah bencana seperti bencana alamdan wabak penyakit. Banjir, taufan, kebakaran, gempa bumi, tsunami dan berbagai lagi, sering diturunkan Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya agar insaf dan menyedari kekuasaan Allah s.w.t. Bukan sedikit nyawa dan harta yang telah musnah, namun manusia hanya mengambil iktibar dalam masa yang singkat dan semakin lama mereka mula melupakanNya.

Cara Memohon Keampunan:

1-Bertaubat
Allah s.w.t. telah memerintahkan hambaNya agar segera bertaubat sekiranya melakukan sebarang dosa. Firman Allah s.w.t:

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar (dengan penuh keinsafan dan tidak mengulangi dosa tersebut-p)." (At-Tahrim:8)

"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya serta memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan." (As-Syura:25)

Allah s.w.t. menyeru umat manusia agar berusaha menyelamatkan diri dari siksaan azab kubur dan api neraka sebelum maut datang menjemput sebagaimana firmanNya:

"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima oleh Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima oleh Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka barulah ia mengatakan 'sesungguhnya saya bertaubat sekarang.' Tidak pula diterima taubat orang-orang yang mati sedangkan mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksaan yang pedih." (An-Nisa'17-18)

Allah s.w.t. juga memerintahkan manusia supaya memohon keampunan dariNya, memperbanyakkan amal kebajikan serta mendekatkan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya, baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit (kesusahan-p) dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengetahui.

Balasan untuk mereka itu ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal." (Al-Imraan:133-136)


Nabi Muhammad s.a.w. telah menyeru umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t, di antara sabdanya ialah:

"Wahai sekelian manusia, bertaubat dan memohon ampunlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya aku sendiri bertaubat setiap hari sebanyak 100 kali." (Hadis riwayat Muslim)

"Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa membuka kekuasaanNya pada malam hari supaya orang yang melakukan dosa pada siang hari mahu bertaubat dan juga membuka kekuasaanNya pada siang hari supaya orang yang melakukan dosa pada malam hari mahu bertaubat. Hal yang demikian itu terus berlangsung sehingga matahari terbit dari barat (pintu taubat tertutup-p)." (Hadis riwayat Muslim)

Syarat-syarat diterima taubat
Taubat bagi dosa yang dilakukan oleh MANUSIA TERHADAP TUHAN,serta tidak melibatkan hubungannya dengan manusia lain, terdapat 3 syarat baginya:

1-Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
2-Benar-benar menyesal di atas perbuatan dosa yang dilakukan
3-Bertekad di dalam hati TIDAK akan melakukan dosa itu lagi selama-lamanya.

Taubat bagi dosa yang dilakukan oleh manusia terhadap SESAMA MANUSIA, terdapat 4 syarat baginya iaitu 3 syarat di atas dan ditambah lagi dengan syarat ke 4, iaitu mesti dapat membebaskan diri dari HAK orang yang punya. Bermakna dia harus mengembalikan harta orang tersebut atau jika ia bebbentuk hukuman, dia harus menyerahkan diri kepada orang tersebut untuk menerima hukuman atau memohon dimaafkan.

2-Solat Tasbih
Melakukan solat Tasbih adalah satu cara memohon keampunan dari Allah s.w.t dari segala dosa-dosa yang kita lakukan. Ia merupakan cara bertaubat yang amat afdhal yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah solat sunat 4 rakaat. Bacaannya sama seperti solat fardhu 4 rakaat cuma niatnya berbeza dan ditambah dengan bacaan tasbih pada waktu tertentu.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saudaranya Abbas bin Abdul Muttalib:

"Wahai bapa saudaraku! Sukakah jika aku berikan hadiah istimewa untukmu? Aku ajarkan sepuluh perbuatan yang dapat menghapuskan sepuluh jenis dosa. Jika kau melakukannya, maka Allah mengampuni dosa-dosamu, baik yang awal mahupun yang akhir, baik yang lama mahupun yang baru, baik yang tidak sengaja mahupun yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang nyata. Sepuluh kelakuan itu ialah solat sebanyak 4 rakaat.

Setiap rakaat membaca Al-Fatihah dan surah, selesai membaca itu dalam rakaat pertama, lalu bacalah ketika masih berdiri:


'Subhanallahi walhamdulilahi walaa ilaa ha illallahu Allahu akbar' sebanyak 15 kali

kemudian rukuk,dan semasa rukukini bacalah seperti di atas 10 kali.
kemudian 'iktidal dari rukuk dan baca lagi 10 kali
kemudian turun untuk sujud dan baca lagi 10 kali,
angkat kepala dari sujud dan bacalah 10 kali,
kemudian sujud dan bacalah 10 kali
kemudian angkat kepala dari sujud, di waktu duduk istirehat bacalah 10 kali.
Kesemuanya berjumlah 75 kali dalam setiap rakaat.

Demikianlah yang harus di kerjakan pada setiap rakaat dalam ke semua 4 rakaat itu. Jika dapat mengerjakannya sekali sehari, kerjakanlah. Jika tidak dapat,boleh sejumaat sekali. Jika tidak dapat sebulan sekali, jika tidak dapat, kerjakanlah setahun sekali. jika tidak dapat jugak, maka kerjakanlah sekali seumur hidup." (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Tabrani)

Cara solat tasbih:
~Bacaan: sebagaimana terkandung dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w di atas.
~Niat solat tasbih:
"Usolli sunnatan Tasbih, arba 'aa rokaataini lillahi ta'ala."


3-Berselawat

i- "Allahumma solli 'alaa sayyidinaa muhammadin abdika wa nabiyyika wa rosuulikannabiyyi al umyyi"


Ertinya:Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang Ummi.

Selawat di atas dikatakan dapat menghapus dosa selama 80 tahun. Ia diamalkan selepas Asar di hari Jumaat dan dibaca sebanyak 80 kali.

ii-"Allahumma solli 'alaa sayyidina Muhammadin wa 'alaa aalihi wasallam"

Ertinya:Ya Allah, semoga Engkau berikan rahmat atas penghulu kami Nabi Muhammad dan para keluarga dan limpahkanlah keselamatan."


4-Berdoa
Doa adalah senjata orang-orang mukmin. Berdoalah semoga kita diberi keampunan setiap kali kita melakukan dosa dan kesilapan. Di antara saat- saat mustajab doa adalah sewaktu sujud solat fardhu, sewaktu hujan, sewaktu azan, selepas solat 'Asar, sepanjang bulan Ramadhan, Rejab, semasa Nisfu Sya'aban, selepas menunaikan solat sunat di masjid Nabawi, dan sewaktu menunaikan Haji di Makkah.

Semoga kita dapat mengelakkan diri dari berbuat dosa-dosa besar. Mohonlah keampunan dari Allah s.w.t. sepanjang masa, kerana manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan dosa. Berdoalah agar Allah s.w.t. melindungi kita dan keturunan kita dari hasutan syaitan dan iblis laknatullah. Semoga Allah s.w.t. merahmati kita sebagai hambaNya yang solih di dunia dan akhirat. Semoga kita selamat dari segala bencana, selamat dari segala azab kubur dan api neraka. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai hambaNya yang dapat menghuni syurgaNya yang indah dan penuh rahmat.

Maha Suci Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pencipta, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah, ampunilah dosa-dosa kami serta berkatilah perjalanan hidup kami di dunia dan akhirat. Amiin Yaa Rabbal 'aalamiin...

Friday, November 13, 2009

Thursday, November 12, 2009

The Call For Hajj From Mecca





For those who are capable, do not wait till you are too late to do so..
And for our dear Muslims who go on their Hajj Pilgrimage this year, let us pray for them, may Allah accept their repentance and bless them...

....Labbaikallah hummalabbaikk....

....Allahu Akbar!


Updated: 13hb Disember 2009....
(Petikan dari Berita Harian 13/12/09)

SOALAN: RAMAI jemaah kita yang sudah kembali dari Tanah Suci ketika ini. Rasa gembira pasti dirasai, terutama mereka yang menyambut ibu bapa masing-masing. Malangnya, ibu bapa saya sudah meninggal dunia dan arwah belum menunaikan haji. Bolehkah saya menggantikan haji mereka..?

Wan,
Negeri Sembilan.



JAWAPAN:

ALLAH SWT berfirman mengenai kewajipan haji iaitu: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah."

Allah SWT menutup ayat itu dengan firman-Nya:

"Bertakwalah kamu kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah amat berat seksaan-Nya (terhadap orang yang melanggar perintah-Nya).� (Surah al-Baqarah 2:196)

Ayat itu adalah perintah yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang cukup syarat. Secara dasarnya, haji ialah ibadat badaniyah yang harus dikerjakan sendiri.

Namun, jika seseorang tidak dapat mengerjakan sendiri, anaknya dapat menunaikan sesudahnya. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya anakmu termasuk usahamu." (Riwayat Abu Daud).

Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, anak ialah sebahagian daripadanya dan sebahagian amalannya. Selain itu, anak dianggap pewaris selepas seseorang meninggal dunia.

Seperti yang disebut hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

"Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak salih yang mendoakannya".

Maka anak salih adalah penyambung kehidupan orang tuanya. Oleh itu, anak boleh mengerjakan haji bagi pihak kedua orang tuanya. Kalau mereka tidak boleh melaksanakan sendiri, boleh mewakilkannya kepada orang lain.

Seorang wanita bertanya Nabi SAW , apakah dia boleh melakukan haji ibunya yang bernazar sebelum meninggal dunia.

Baginda SAW menjawab:

"Hajikanlah dia! Bagaimana pandanganmu sekiranya ia mempunyai hutang, apakah engkau boleh melunaskan hutangnya?"

Wanita itu menjawab: "Ya."

Baginda bersabda:

"Maka tunaikanlah kerana hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilunas".

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

"Maka hutang kepada Allah itu lebih berhak dilunas."

Apabila anak boleh melunasi hutang orang tuanya dalam urusan harta benda, begitulah pula dalam urusan ruhiyah dan ibadat.

Apabila anak yang akan mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan haji orang tuanya menggunakan wangnya sendiri, maka perkara itu bergantung kepada kemampuan kewangannya.

Namun, perlu diingat bagi orang yang mahu melakukan haji orang lain, disyaratkan dirinya sudah menunaikan haji.

Monday, November 09, 2009

'They' .......when his heart speaks..!

They nag
They love us
They worry
They care
They get angry
They scold us
They pat us
They kiss us
They push us
They support us
They ground us
They comfort us
They plan for us n expect the best from us
They don't seem to understand us
They sometimes seem cool and sometimes seem overreacted
They're our invisible wings

We can find one thousand bad things about them only to realise there're millions more of good things they do. That's because they're our parents and will always be. So, live with it, and start making them glad for having us as their children[=

I'm touched with these words that came from the HEART of someone, ....my dearest son! It illustrared lots of things which I'd never realised before. Son, you taught me to be a better me, a better mother. Through thick and thin together we stand. Soar to the highest sky with the wings that I've given you and never forget the roots where you started your first step.

Sunday, November 08, 2009

MENGAPA BEGINI..,?



PERLAWANAN akhir Bola Sepak Piala Malaysia edisi ke-83 iaitu di antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain dan penonton. Harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium dibakar.. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu. Seorang perempuan cedera parah pada mukanya.

Kutukan dan kata-kata kesat menjadi hiasan bibir menggantikan ucapan zikir dan doa. Tidak ada senyuman dan salam. Semuanya pahit dan kelam pada pandangan dan fikiran. Di sinilah syaitan merasuki jiwa kita, saat yang sentiasa dinantikan. Detik yang membuka seluas-luasnya jalan perpecahan sesama ummah..!



Mengapa kita barus hilang pertimbangan, ke mana hilangnya semangat kesukanan dan saling menghormati...? Ia hanya sekadar satu permainan, kalah dan menang adat dalam setiap perlawanan. Jika menang jangan mendabik dada, dan jika kalah jangan pula orang lain yang dipersalahkan. Tarik nafas panjang-panjang. Beristighfarlah... Sama-sama kita renungkan di mana kesilapan, kekurangan dan kelemahan kita sehingga pasukan kita kalah.

Semangat yang dipamerkan memang mempunyai dorongan kekuatan yang amat tinggi. Amat beruntung individu, keluarga dan negara yang mempunyai rakyatnya yang mempunyai semangat dan jiwa yang kuat seperti ini. Cuma... gunakanlah pada tempat, situasi dan masa yang sesuai. Janganlah kita berpecah dan bertindak diluar batas susila dan kesopanan. Kebanyakan yang menonton perlawanan Piala Malaysia malam tadi adalah dari bangsa Melayu beragama Islam. Wahai saudaraseagamaku yang ku kasihi, alangkah tinggi nilai dan indahnya bayangan iman yang saudara-saudaraku miliki, andai saja semangat yang dipamerkan pada malam tadi digunakan dan dipraktikkan demi mengembangkan dan mempertahankan agama, bangsa dan negara kita...!

Kita di bumi Malaysia, negara yang masih aman dan dibendung dengan undang-undang. Sayangilah keharmonian yang masih ada. Cukuplah sesekali kita tersasul dan jangan diulangi lagi. Bersatulah kerana bangsa kita semakin terpinggir dan kita mempunyai perjalanan masa depan yang panjang untuk difikir. Semoga agama kita dan bangsa kita tidak menerima nasib seperti umat Islam lain di negara-negara luar..!

Jika dalaman kita asyik berpecah dan huru-hara, bagaimana mungkin kita boleh bermuafakat, bersatu mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Jika kita sentiasa melayan sifat amarah dan melepaskannya kepada sesama saudara seagama, sebangsa dan senegara, bagaimana mungkin kita boleh sama-sama duduk dan berbincang untuk memajukan diri, keluarga dan negara kita? Mengapa dalam negara yang masih aman ini, nyawa jadi taruhan disebabkan ingin melempiaskan perasaan amarah dan kecewa yang membuak-buak? Kita mungkin mencederakan diri sendiri, saudara-saudara kita dan rakan-rakan kita... tanpa alasan yang benar-benar kukuh. Hanya kerana marah, marah dan marah..

Wahai saudara-saudaraku, anak-anakku yang dikasihi, lihat pula di negara-negara Islam yang ditindas, Palestine umpamanya... remaja mereka, malah kanak-kanak seusia 9 tahun pun sudah bersemangat tinggi dan mula berjihad demi mempertahan nasib agama, bangsa dan negara! Dalam situasi sebegitulah, semangat, kekuatan dan kesetiaan yang tinggi perlu dipamerkan!


Sumber~ Metro Online.





2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?