Showing posts with label Dicelah Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Dicelah Kehidupan. Show all posts

Thursday, December 03, 2009

AN HONOUR KILLING : Amalan Jahiliah moden

Kemajuan sains dan teknologi di abad 'aero-angkasa' berserta lengkapnya peraturan hidup yang dibawa oleh Islam sebagai agama yang sempurna hari ini, belum dapat diseimbangi oleh corak pemikiran sesetengah kelompok manusia, yang masih kuat berpegang kepada adat resam ciptaan mereka sendiri. Amat menghairankan jika kita mengetahui bahawa di zaman serba moden dan maju ini, terdapat sekelompok manusia yang sanggup membunuh zuriat sendiri yang telah dibela dan dididik dengan bersusah payah (sehingga menjadi seorang manusia dewasa), demi menjaga adat resam semata-mata. Mereka sanggup menafikan hak kemanusiaan, bahkan mencemar kesucian agama yang dianuti. Apa yang diperkatakan di sini bukanlah mengenai amalan sesat orang-orang kafir, tetapi amalan yang dipertahankan oleh sekelompok masyarakat dunia yang beragama Islam..! Aneh, tetapi benar...

Kes Pertama:
Pada tahun 2007, seorang gadis Pakistan (Saira Jatoi, 22 tahun), telah berkahwin lari mengikut pilihan hatinya dengan seorang pemuda (Ismail Soomro, 26 tahun). Mereka berasal dari 2 buah keluarga Islam dari keturunan Jatoi, dari daerah Sindh di Pakistan. Perkahwinan yang mendapat tentangan keluarga itu membawa kepada ancaman maut kepada pasangan tersebut berikutan dari keputusan ' mahkamah' puak Jatoi (yang dipanggil Jirgas) telah mengisytiharkan pasangan tersebut sebagai 'Karo-Kari' - iaitu pasangan (lelaki-Karo; perempuan-Kari) yang mendatangkan keaiban kepada keluarga. Walaupun tidak sah dari sisi undang-undang negara Pakistan, keputusan Mahkamah Jatoi yang dianggotai oleh golongan tua dari puak konservatif tersebut telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pasangan tersebut demi menjaga kehormatan keluarga mereka. Dalam adat puak Jatoi, setiap perkahwinan masih dirancang oleh keluarga. Penentangan atau perkahwinan berdasarkan cinta pilihan sendiri menjadi suatu 'taboo' yang membawa kepada hukuman bunuh atau 'an honour killing'. Sehingga Jun 2009, pasangan ini mendapat perlidungan dari pihak berkuasa Pakistan dan dibenarkan menghuni sebuah bilik di ibu Pejabat Polis Garden di Pakistan dalam keadaan serba kedaifan bersama seorang anak mereka (Hasnain), yang berusia lapan bulan. Pasangan ini bersama anak mereka hidup melarat kerana tidak dapat keluar mencari pekerjaan, bimbang dibunuh oleh keluarga mereka sendiri.

Kes kedua:
Pada tahun 2003, pasangan Shaista Almani dan Balukh Sher Mehar dari daerah Ghotki di utara Sindh, Pakistan, telah berkahwin atas dasar cinta dan ditentang oleh keluarga mereka. Pergolakan dari kisah cinta mereka telah mengorbankan seramai 15 nyawa. Pasangan ini terselamat dari dibunuh kerana berjaya keluar dari Pakistan dan kini menetap di Norway.

Kes ketiga:
Seorang lelakipuak telah menanam hidup-hidup 3 orang remaja perempuan sebagai hukuman ke atas mereka kerana mengahwini suami dari calon pilihan sendiri. Terdapat juga pasangan yang ditembak mati sebagai perlaksanaan hukuman ke atas 'Karo-Kari'.

Statistik dari sebuah kumpulan hak asasi wanita Pakistan, Yayasan Aurat, seramai 550 orang telah menjadi mangsa kepada 'honour killing' sepanjang tahun 2008. Sebahagian besar dari jumlah ini, iaitu 204 orang wanita dan 96 orang lelaki menjalani hukuman 'honour killing' di daerah Sindh. Bgaimanapun, mengikut rekod yayasan ini, jumlah kes yang dilaporkan hanyalah mewakili sebilangan kecil dari jumlah sebenar 'honour killing' yang berlaku. Walaupun 'mahkmah Jirgas' diharamkan oleh kerajaan Pakistan semenjak 5 tahun lalu, namun 'honour killing' masih berterusan malah dilaporkan semakin meningkat...!

Apabila seseorang itu diisytiharkan sebagai Karo dan Kari, mereka boleh dibunuh oleh mana-mana anggota puak. Dalam beberapa kes berkaitan, wanita dan kanak-kanak perempuan sering dijadikan sebagai 'alat' pertukaran untuk menyelesaikan pertelingkahan.


Rumusan kes mengikut pandangan Islam...
Rasulullah s.a.w diutuskan ke dunia untuk menyebarkan agama Islam yang suci di zaman kemuncak kesesatan kaum Arab jahiliah di bumi Arab lebih seribu tahun dahulu. Umumnya kita boleh menerima pakai alasan bahawa kaum Arab sewaktu itu jahil dan sesat, bersesuaian dengan zaman kehidupan mereka, dan kehidupan masyarakat dunia amnya, masih belum mencapai tahap kemajuan seperti hari ini. Maka itulah, Allah s.w.t mengutuskan seorang Rasul khas kepada mereka, dan umumnya kepada manusia sejagat. Iaitu sebagai mediator untuk membetulkan kesilapan dan kesesatan orang-orang Arab jahiliah dan semua bangsa manusia di dunia ini, memandangkan pada waktu itu umat manusia telah jauh terpesong dari ajaran agama Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menyampaikan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia agar dapat mengatur kehidupan di dunia ini dengan lebih sempurna dan beretika. Peraturan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w mencakupi semua aspek kehidupan bermasyarakat, yang diperlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat nanti. Di antara perlakuan sesat kaum Arab jahiliah yang amat ditegah oleh ajaran Islam adalah amalan membunuh anak-anak perempuan yang baru dilahirkan (dengan menanam mereka hidup-hidup), demi menjaga maruah keluarga, kononnya ditakuti anak-anak perempuan ini akan mencemarkan nama keluarga apabila mereka dewasa kelak. Orang-orang Arab jahiliah ketika itu amat memandang rendah kepada kaum perempuan.

Kedatangan
syiar Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya memberi nafas baru kepada dunia di mana kaum perempuan diberi penghormatan dan kedudukan yang tinggi di sisi masyarakat dan lebih-lebih lagi di sisi Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Pencipta. Islam menekankan bahawa syurga bagi seorang anak adalah berada 'di bawah tapak kaki' ibunya (iaitu melambangkan ketinggian darjat seorang perempuan). Rasulullah s.a.w. sendiri melalui beberapa hadis baginda, menekankan secara perbandingan bahawa mertabat seorang ibu (mewakili kaum perempuan keseluruhannya), adalah lebih tinggi dari mertabat seorang bapa. Ini membawa maksud, untuk mendapat keberkatan dalam hidup di dunia dan untuk memasuki syurga di akhirat nanti, seseorang anak, mestilah mematuhi semua perintah ibunya selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Allah s.w.t. Jika seseorang anak perempuan yang telah berkahwin beralih keutamaannya, iaitu mengutamakan suami dengan mematuhi semua perintah dan meninggikan mertabat suaminya (melambangkan lelaki tetap tinggi mertabatnya) sebagai syarat baginya memasuki syurga, namun Allah s.w.t. tetap mengekalkan keutamaan mematuhi perintah ibu bagi setiap anak lelaki meskipun mereka telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

" Andainya dibolehkan seseorang manusia itu menyembah sesuatu selepas menyembah Allah s.w.t, akan ku perintahkan umatku agar menyembah ibunya."

Begitulah besar dan tingginya mertabat seorang wanita (seorang ibu) di sisi agama Islam, iaitu sebuah agama yang sempurna buat semua insan di dunia ini.


Kedatangan Islam juga telah memerangi kesesatan kaum jahiliah yang menghalalkan perkahwinan di kalangan adik beradik dan saudara mara terdekat, yang kononnya diamalkan demi menjaga penyatuan kaum dan memelihara mertabat kebangsawanan suku kaum mereka. Hal ini terjadi kerana kaum jahiliah Arab terkenal dengan kekuatan amalan semangat 'assobbiah' (perkauman). Peraturan dan hukum perkahwinan dalam agama Islam mengharamkan perkahwinan di antara adik beradik seibu dan sebapa; adik beradik seibu tetapi berlainan bapa (bagi adik beradik dari ibu yang mempunyai anak dari suami yang bercerai hidup atau mati); adik beradik sebapa tetapi berlainan ibu (bagi adik beradik dari bapa yang mempunyai anak-anak dari berlainan isteri semasa, atau yang telah diceraikan dan juga yang bercerai mati); di antara ibu saudara dan anak saudara serta di antara bapa saudara dan anak saudara. Saudara terdekat yang dihalalkan untuk dikahwini adalah saudara sepupu (anak kepada bapa saudara sedarah atau anak kepada ibu saudara sedarah). Meskipun begitu, perkahwinan dengan saudara sepupu tidak begitu digalakkan dalam Islam kerana Islam menggalakkan penyatuan dan perkembangan ummah melalui sistem perkahwinan sejagat yang menggalakkan perkahwinan dengan saudara jauh atau suku kaum yang berbeza.

Meskipun agama Islam tidak menggalakkan perkahwinan yang ditentang oleh keluarga (terutama yang tidak mendapat restu ibu bapa) kerana berbagai faktor, seperti pasangan yang tidak sekufu (tidak seimbang) dari segi keturunan, pekerjaan (jaminan sara hidup dan masa depan), pendidikan dan lain-lain yang menjadi asas kepada kebahagiaan rumahtangga yang akan terbina, namun sekiranya ikatan perkahwinan itu telah terjadi (diijab dan kabulkan) secara sah mengikut syarat agama Islam, maka Islam melarang sekeras-kerasnya memutuskan ikatan tersebut, apalagi membunuh pasangan tersebut adalah haram dan berdosa besar. Sesungguhnya Allah s.w.t. mempunyai hak ke atas setiap nyawa makhlukNya dan tidak ada sesiapapun yang boleh mendahului hak Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta.

Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Selepas pengutusan Nabi Muhammad s.a.w ke dunia sebagai Rasulullah yang membetulkan segala kesesatan dan keengkaran manusia terhadap Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t telah berjanji akan membangkitkan kembali Nabi Isa a.s. di zaman akhir sebelum belakunya Kiamat. Ini semata-mata di atas sifatNya Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengampuni terhadap sekelian hambaNya. Kehadiran Nabi Isa a.s kelak akan kembali mengingatkan dan mengajar manusia tentang ke Esaan Allah s.w.t, serta peraturan-peraturan yang telah Allah s.w.t. tetapkan melalui agama Islam sebagai agama yang sempurna, demi memberi ruang keinsafan dan menarik manusia agar bertaubat ke jalan yang benar. Sesungguhnya siksaan dari Allah s.w.t itu amat pedih dan tidak tertanggung oleh setiap manusia. Namun manusia adalah makhluk yang sering bersifat pelupa dan sentiasa memungkiri janji...

Semoga kita mendapat iktibar dari amalan jahiliah dan sesat yang diamalkan oleh kaum Jatoi. Mudah-mudahan kita menginsafi diri dan tidak tergolong dalam golongan penghuni Neraka.

Saturday, November 28, 2009

Nak Raya ke..?.


Dalam keghairahan umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Adha, tentunya pelbagai persiapan diadakan untuk melengkapi sambutan hari yang mulia ini.. Paling utama menempah bahagian 'korban' sendiri atau ahli keluarga, bagi yang mampu. Di pagi hari raya pula, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha, mereka akan ke tempat penyembelihan korban untuk melafaz niat dan seterusnya mengambil daging korban masing-masing untuk diagihkan kepada yang memerlukan, jika tidak diurus oleh badan-badan berkaitan.

Kebanyakan suri rumah setidak-tidaknya akan menyediakan sedikit juadah untuk santapan di hari raya, meskipun tidak semeriah Aidilfitri. Bagi yang merantau, terutama dari Pantai Timur Semenanjung, mereka akan pulang ke kampung sehari dua sebelum tibanya hari raya, kerana Hari Raya Haji ini masih meriah disambut, terutama di Kelantan dan Terengganu.


Hari Raya Haji pada tahun ini disambut agak hambar, oleh keluarga ummi. Ummi hanya berseorangan di rumah. Babah sudahpun berlepas dari bumi Sarawak pada petang hari Khamis, 27hb Nov, menuju ke tengah laut demi tugasan yang memanggil. Begitulah rutin kehidupan jika hanya bekerja makan gaji. Di mana sahaja khidmat diperlukan, pada bila-bila masa sahaja kita harus melaksanakannya, demi mencari rezeki dari gaji yang halal. tersekat-sekat suara babah di dalam telefon, mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha kepada ummi. Ummi cukup 'benci' makan gaji! Bukan menyombong diri, namun wujud ketidakserasian agaknya dengan jiwa ummi yang inginkan ketenangan hidup dan mengutamakan kepentingan masa bersama keluarga. Ummi lebih suka bekerja sendiri, berniaga umpamanya, biarpun kecil-kecilan namun hati ummi puas. Ummi boleh mengatur masa dan 'profit margin' sesuka hati..


Berbalik kepada cerita hari raya, ummi sebenarnya sedih bila beraya tanpa suami tercinta di sisi. Namun begitu, demi anak-anak ummi gagahi juga menyediakan sedikit juadah untuk hidangan keluarga kecil ummi di hari raya. Ummi akan beraya dengan abang sahaja di rumah. Abang sedang dalam perjalanan kembali dari UIA di PJ dengan menaiki bas jam 9:00 malam dan dijangka tiba di Melaka pada jam 11:00 malam. Adik sedang menghadapi peperiksaan SPMnya dan tidak dapat pulang beraya kerana pada hari Isnin nanti, adik akan menduduki peperiksaan Kertas Biologi, diikuti Kertas Fizik dan Kimia yang hanya akan berakhir pada 8hb Nov 2009 (Semoga Allah memberkati dan membantu adik supaya cemerlang dalam peperiksaannya). Ummi yang tidak membenarkan adik pulang, demi mengurangkan masanya terbuang di perjalanan. Ummi merancang untuk melawat adik bersama abang sebaik selepas menunaikan solat Aidiladha.


Belakang dan kaki ummi mula terasa sakit kerana berdiri terlalu lama menyiang dan membersihkan daging untuk dibuat Rendang Tok, sambil merebus nasi himpit yang menjadi hidangan 'wajib' kami pada setiap kali hari raya tiba.. Hati ummi sebagai seorang ibu diruntun perasaan tidak seronok pula jika menghidangkan sejenis juadah sahaja untuk anak-anak, sedangkan kalau babah ada di sisi, kepelbagaian itu 'wajib' walaupun dalam jumlah yang sederhana dan secukupnya sahaja untuk keluarga kami.
Dalam berkira-kira untuk menyeronokkan hati anak-anak, ummi pun masaklah pulut kuning sebagai tambahan. Kali ini ummi menjimatkan tenaga (kerana kesihatan yang tidak mengizinkan), ummi hanya masak dengan menggunakan periuk elektrik sahaja, cuma ditambah minyak sapi (sebagai menggantikan santan jika dimasak secara kukusan). Cukuplah sekadar 'mengadakan' daripada tiada! Begitupun rasanya masih kekal, walaupun rupanya tidak seindah rasa..,akan bertambah enak bila ummi hidangkan bersama serunding kelak.. alkisah..!

Jam menunjukkan pukul 12:00 tengah malam, namun abang belum jugak sampai ke rumah... Kenapa pulak abang lewat agaknya.. Hmm, baru ummi teringat, inikan malam hari raya, sudah pasti jalan jem (tanpa roti) dengan lalulintas, walaupun mengikut laluan lebuhraya! Saban tahun pada saat-saat beginilah kenderaan dari berbagai ceruk rantau berpesta dan 'marching' di sepanjang lebuhraya Timur-barat dan Utara-selatan... Bukankah seronok jadi suami ummi..? Naik helikopter ke tengah laut, sudahlah tidak ada jem, 'jalan atas' pulak tuu.... (Maafkan ummi ya babah, bergurau sahaja.., merawat hati yang sedih ni.

Ummi sendiri sudah berkali-kali marching dari dapur hingga ruang tamu, melayan perasaan resah menunggu anak sulung yang tidak kunjung tiba. Berpuluh kali sudah ummi menelefon abang namun masih tidak dapat dihubungi...! Alhamdulillah adik pula sedang mengulangkaji pelajaran sewaktu ummi menelefonnya tadi. Semoga abang diberkati dan dilindungi Allah serta selamat di perjalanan. Semoga babah juga di berkati dan dilindungi Allah dari segala mara bahaya... Sayu hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Dalam keadaan begini ummi perlu berbuat sesuatu supaya fikiran tidak berkecamuk. Tiba-tiba hati teringatkan sembang cyber dengan Hasue, anak jati Sarawak yang mahir dalam pembikinan Kek Lapis Sarawak.. Blogger Kak ina kl pun pernah menyarankan ummi mencuba jari jemari ni untuk melapis kek Bumi Kenyalang ni. Alahai.... teringin, tapi... terdaya ke ummi, dalam keadaan belakang dan kaki yang semakin sakit rasanya ni...

Ish... tak boleh jadi...! Dengan lafaz Bismillah...
Ummi pun membulatkan tekad (sebulat bola yang disepak pemain2 Kelantan dan N9 baru2 ni... (sensitif..!) Ummi mengeluarkan peralatan dan apa-apa bahan mengikut sekadar apa yang ada dalam stok di rumah... Lalu bermulalah episod pertama melapis Kek Sarawak di dapur rumah ummi yang sunyi sepi ni, sambil menunggu kepulangan anak sulung ummi, Mohamad Shafiq Emir.


Okayy......

Light!

Camera!

Action....!!!



" Assalamu'alaikum ....
puan-puan yang dihormati.. Resepi kita hari ini ialah
KLS
iaitu Kek Lapis Dwi Berry....

Seperti yang kita ketahui, asas dalam pembuatan
KLS adalah.. blablabla...
Bahan2nya, yaa puan2... blablabla...
Cara membuatnya adalah seperti berikut..."

1- Langkah pertama.. Mari2 mewarna dan melapis.
"Ops,dah licin ke?"
Komen penonton..







2- Lapisan pertama dibakar dengan api atas dan
bawah selama 10 minit ya... Lapisan ke 2 kita
bakar dengan api atas
sahaja...












3- Lapisan seterusnya.. Bentukkan corak, secara
garisan menyerong ya... Tapi jari saya terseliuh kerana mencanai roti di malam raya, kita hentam saja ya..
Bakar lagi dan ulangi sehingga beberapa
lapis lagi.

" Comotnya..!"
Ini penonton yang cakaap daa..!









4-Akhir sekali.. Kita akan 'mencanting batik'
pada permukaan lapisan terakhir...
Berbagai corak boleh dilukiskan. Nak lukis gambar
Mikel Jeksen pun bolehh...
(Eh! Lari dari skrip la plak..!)

Bakarlah dengan api atas dan bawah
selama 15 minit..









5- Jemput semua..."Kamek jemput makan ya.. Kalau sik nyaman, Jangan serghik, mun molah lagi.."(?)
Raya tahun depan la pulak..


**Kenapa permukaan atasnya cerah? : Ummi memandai-mandai (wpn tak pandai..) bubuh keju cheddar
di bawah lapisan teratas!

Sedap sangat..Lembut berkrim..!


**Ni ummi tambah semasa 'Take 5'. Pengarah pi
pekena Rendang Tok ummi dengan kopi O...
"Addaa kaa..? Dia pi padam lampu kamera smuaa..
Gelap la weyh... Anak ummi nak masuk rumah
camana niiih..?"







Selepas beberapa ketika...


"Yaa puan-puan... Kita boleh juga panggil Kek Lapis Kelantan lah ya, sebab
ada batik dan lapisannya tak senipis Lapis Sarawak...? Bolleh gituu? Ahaw..!
"
Hasue dah mula kerut kening..! Ok2...Lapis Sarawak amatur,
hehe...
Jangan marah dik!
and CUT!!!

Dan untuk makluman, anak ummi sampai rumah pukul 2:30 pagi!!
Esoknya kami beraya di MRSM TGB bersama adik dan kawan2nya yang senasib (Tak balik kampung laa...).
Akhirnya kami beraya juga dalam kesederhanaan dan hati yang
pilu tanpa babah di sisi...
~SELAMAT HARI RAYA BABAH
!!!~
~We Love U sooo Much...!~


Sunday, October 04, 2009

O! Lebaran..!


Lebaran kali ini giliran saya dan keluarga beraya di sebelah keluarga suami di Selangor. Disebabkan kedua-dua orang anak kami akan menduduki peperiksaan penting pada penghujung tahun ini, kami terpaksa merancang cuti yang pendek bersama keluarga, sekadar 3 hari sahaja. Pada tahun ini kesemua 6 keluarga saudara kami (adik-beradik suami saya), berkebetulan dengan giliran dalam keluarga mereka, buat pertama kalinya akan bermalam bersama di rumah emak pada malam hari raya.

Keluarga saya dan anak saudara lelaki yang baru mendirikan rumah tangga (dan isterinya sedang sarat mengandung anak pertama), antara yang terawal tiba. Hati saya berbunga melihat keakraban anak-anak saya dengan ahli keluarga. Menjelang tengahari, kami sempat bergotong-royong memasak Rendang Tok, Pulut Kuning dan Kuih Goyang. Walaupun memenatkan, jelas terpancar keikhlasan dan kemesraan di hati dan wajah kami 2 keluarga, demi mengeratkan lagi hubungan silatulrahim yang terjalin.

Pada sebelah petangnya, lebih ramai adik-beradik yang tiba dan masing-masing membawa juadah berbuka serta kuih-muih dan biskut raya untuk dimakan bersama, seperti lemang, ketupat pulut, ketupat nasi, kek, rendang ayam dan lain-lain lagi. Seronoknya berkumpul ramai-ramai begini, selain riuh suara anak-anak buah yang masih kecil serta hilai tawa adik-beradik dan ipar-duai bercerita, kami juga dapat merasa ‘air tangan’ adik-beradik yang menyediakan juadah berbuka dan hidangan hari raya. Sekian lama kami terpisah oleh jarak dan tugas, sesekali berjumpa, terubat rindu dan berpaut kembali kemesraan di antara keluarga kami. Saya perhatikan wajah emak yang ceria dan bibirnya sentiasa mengukir senyuman manis. Yang pasti, saya yakin hatinya bahagia melihat anak-anak, cucu-cucu dan menantu-menantunya berkumpul bersamanya menyambut lebaran. Jauh di sudut hati, saya terkenangkan emak kandung di kampung halaman, pasti hatinya agak pilu kerana dalam keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik, lebaran kali ini disambutnya tanpa kehadiran keluarga saya...(Sabar ya emak, tahun depan giliran kami beraya bersama emak..! Walaupun jauh di mata, namun emak sentiasa di hati ini. Semoga Allah sentiasa mengasihi dan memberkati emak).

Selepas berbuka puasa, golongan lelaki akan ke masjid berdekatan untuk bertakbir raya. Kami kaum perempuan, meneruskan sedikit lagi persiapan menyambut lebaran. Pada tengah malamnya ahli kariah masjid akan dijemput berkunjung dan bertakbir serta berselawat nabi dari rumah ke rumah bagi mengimarakkan lagi sambutan malam hari raya, serta mengeratkan silatulrahim. Kami menyediakan sedikit hidangan ringkas kepada mereka sebagai tanda berterima kasih dan berbesar hati di atas kunjungan mereka. Amalan ini kami hidupkan saban tahun bagi memupuk budaya murni yang berunsur santapan kerohanian. Mudah-mudahan ia akan diteruskan oleh generasi muda di masa hadapan.

Selepas solat hari raya dan bermaaf-maafan di antara keluarga, kami beramai-ramai menziarahi pusara arwah abah. Walaupun abah telah lama pergi dan saya serta anak-anak tidak sempat mengenali beliau, namun perasaan hormat dan kasih tetap tertanam di lubuk hati kami. Suami saya telah mendidik saya dan anak-anak agar mengasihi dan menghormati ibu bapa, meskipun mereka tidak kami kenali dan telah tiada di dunia lagi..(Terima kasih babah, di atas bimbingan dan kasih-sayangmu).

Selepas membaca Yaasin dan Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah abah dan keluarga di pusara, kami meneruskan perjalanan (yang mengambil masa tiga jam), menziarahi keluarga sebelah nenek suami di Sungai Besar. Wajah-wajah ceria menyambut kedatangan kami menyebabkan kepenatan yang mula terasa terus luput..! Saya dan anak-anak sempat merasai keenakkan daging dendeng manis, nasi himpit berkuah kacang dan isi ayam, wajik, dodol, ketupat daun palas dan daun kelapa, di samping juadah biasa yang lain. Kami menziarahi beberapa buah rumah dan anak-anak saya dengan malu-malu (kerana sudah remaja) dipaksa menerima angpau raya’ dari nenek-nenek dan datuk-datuk saudara mereka.

Dalam perjalanan pulang, saya mendapat panggilan talipon mengatakan sakit emak bertambah teruk. Dengan kehendak suami, kami terus bertolak pulang ke Kota Bharu pada malam tersebut dan sampai pada keesokan paginya. Kami meluangkan masa 4 hari bersama emak dan kesihatan emak beransur pulih. Hati saya kuat mengatakan sebenarnya emak bertambah sakit kerana menanggung rindu pada kami sekeluarga terutama cucu-cucunya. Saya merasa amat bersyukur dikurniakan Allah seorang suami yang bersikap penyabar dan amat bertolak ansur dengan keluarga, walaupun dalam keadaan kewangan yang agak kritikal, beliau terus bertindak membawa kami pulang bertemu emak. Suami saya berpegang pada prinsip ‘wang boleh dicari, namun ibu hanya seorang’. Prinsip inilah juga yang ditanamkan kepada anak-anak kami semenjak kecil sehingga saya berasa amat bersyukur menjadi isteri dan ibu kepada suami dan anak-anak yang amat menyayangi diri saya. Kasihnya ayah berkorban nyawa, kasihnya ibu membawa ke syurga’. Walaupun anak-anak kami akan menghadapi peperiksaan namun mereka juga turut berkorban masa demi nenek tercinta.

Pulang dari kampung kami terus menghantar anak-anak ke asrama masing-masing di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan Maktab Rendah Sains Mara di Jasin Melaka. Kami meninggalkan anak-anak dengan restu untuk meneruskan perjuangan demi masa depan mereka. Semoga mereka termasuk dalam golongan anak bangsa yang berjaya di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun, kejadian yang kurang manis telah berlaku. Almari pakaian anak saya dan rakan-rakanya di MRSM telah diselongkar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan anak saya telah kehilangan hampir RM300.00 dan beberapa helai pakaian kesayangan. Kecuaian anak saya memberi pengajaran supaya tidak meninggalkan duit dan barang-barang beharga di maktab sewaktu pulang bercuti. Namun, impak di sebaliknya pula ialah, mengapa kecurian dan kes penyelongkaran di waktu cuti ini dibiarkan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang berkesan diambil oleh pihak pengurusan MRSM berkenaan?

Terdapat beberapa orang pengawal keselamatan yang bertugas dan menyelia di maktab sepanjang masa. Ke mana mereka ini sewaktu kecurian dan ‘pecah masuk’ itu berlaku? Kes ini bukan melibatkan anak saya seorang, malah sebuah ‘dormitry’ yang dihuni oleh berpuluh pelajar yang bukan kesemuanya terdiri dari anak-anak orang berada yang boleh mengambil mudah sebarang kehilangan atau kecurian yang berlaku. Sepatutnya pengawal-pengawal tersebut dipanggil untuk disoal-siasat dan perkara ini dibawa ke pengetahuan pihak polis. Selama mana kita mesti membiarkan sama ada ‘orang luar’ atau ‘orang dalam’, mempermainkan pelajar dan pihak pengurusan maktab yang terdiri dari golongan bijak pandai yang selama ini telah berjaya mendidik anak bangsanya menjadi manusia yang berjaya?

Masakan kita hanya mampu berdiam diri dan membiarkan nama maktab dicemari oleh kejadian buruk ini? Ikutkan hati, saya mahu membuat aduan kepada pihak polis mengenai kejadian yang berlaku. kerana ia turut melibatkan anak saya. Namun demi menghormati pihak pengurusan maktab, saya menaruh sepenuh kepercayaan dan berharap kepada budi bicara pihak maktab agar menangani masalah ini dengan segera. Jangan biarkan pelajar-pelajar tinggal di asrama dalam keadaan trauma, semata-mata kerana tidak mahu nama maktab terpapar di dada akhbar dengan berita yang kurang menyenangkan. Tidak mustahil suatu ketika nanti asrama pelajar-pelajar perempuan pula yang dicerobohi, dan ditakuti perkara yang lebih dahsyat berlaku, sehingga mencemarkan maruah dan masa depan anak-anak perempuan kita. Sesungguhnya ‘mencegah lebih baik dari mengubati, dan Jangan biarkan nasi menjadi bubur’. Bertindaklah sebelum parah!

Terima kasih Tuhan, terima kasih di atas segala kurniaanMu dan lebaran yang banyak meninggalkan pengajaran... Alhamdulillah..!


Note: Hari ini saya berbuka puasa (Puasa sunat Syawal) di Miri. Sedap juga hidangan Nasi Lalapan dengan ikan Talapia goreng dan ayam goreng kunyit bersama sayuran celur dan sambal belacan Sarawak.. Walaupun simple tapi menyelerakan bila dimakan sewaktu panas.

Saturday, October 03, 2009

Sepanjang Jalan Kenangan


Assalamualaikum,

Semoga semua pembaca yang melayari blog saya berada dalam rahmat Allah selalu serta telah melalui masa yang amat menggembirakan di sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri 1430H yang baru saja berlalu.. Aidilfitri meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan. Ada yang indah, manis, pahit, malah tragis.

Setiap kali menjelang lebaran, berbagai cerita menghiasi dada akhbar tempatan. Para peniaga seronok menghidangkan juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan dan mengutip keuntungan bermusim yang amat lumayan.. Bukankah telah dijanjikan Allah s.w.t, bahawa 9 per 10 dari rezeki hambaNya terkumpul dalam bidang perniagaan? Jadi, usahakan dan petiklah buah keuntungan dari pohon yang rimbun itu.. Jangan kita hanya sekadar membajakan pokok itu dengan menjadi pembeli setia, mencurahkan wang dari poket sedangkan kita sendiri berpeluang mengusahakan berbagai jenis perniagaan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dari perniagaan bermodal kecil seperti juadah berbuka kepada kuih-muih dan biskut raya, kepada yang bermodal sederhana dan besar seperti pakaian muslimin, tudung, kerongsang, kemasan rumah seperti langsir serta sarung kusyen kepada barang kemas, perabut dan berbagai lagi. Tepuk dada, tanyalah ‘budget’, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Sekarang bukan lagi zaman kita menunggu peluang, tetapi zaman mencari dan merebut peluang . ‘Yang bulat belum tentu datang bergolek, yang pipih tak bersayap untuk datang melayang.. ‘

Bermula awal Ramadhan lagi kita dipaparkan dengan kisah kanak-kanak terputus jari kerana bermain mercun. Malah ada pula yang buta matanya kerana terkena percikan mercun yang dilemparkan kumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab. Siapakah yang akan membela nasib malang kanak-kanak tersebut? Kita hanya menggeleng kepala dan mengeluh tanda simpati, sedangkan nasib kanak-kanak tersebut tidak akan semalang itu jika anak-anak kita terdidik dengan sikap bertanggungjawab dan tidak menjadikan mercun serta bunga api sebagai permainan wajib menjelangnya musim perayaan.

Hati saya berdetik sedih sewaktu menyusuri sebuah bazaar Ramadhan di Melaka, saya melihat isteri dan keluarga seorang anggota polis yang saya kenali begitu angkuh mengaut keuntungan dari jualan bunga api dan mercun kepada pengunjung bazaar tersebut. Di manakah nilai moral serta rasa kebertanggungjawaban mereka kepada sesama anggota masyarakat? Suami dan anggota keluarga mereka bertugas sebagai anggota keselamatan yang terpikul di bahunya tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat, tetapi di beberapa sudut bazaar tersebut mereka menjual barang larangan demi mengaut keuntungan lumayan.

Persoalannya, tidak adakah sedikit nilai kemanusiaan dalam hati kecil mereka, sedangkan mereka bukan sahaja mempunyai anak-anak kecil, tetapi juga melanggar undang-undang negara! Malah apa yang lebih menghairankan saya, bagaimanakah dengan senangnya dan dari manakah mereka mendapat bekalan mercun dan bunga api dalam jumlah yang begitu banyak untuk dijual...?! Aktiviti mereka bukan hanya pada bulan Ramadhan 2009 yang lalu, malah sepanjang 3 tahun saya mengenali mereka, itulah kegiatan mereka pada setiap kali Ramadhan menjelang. Saya kira, sebelum saya mengenali mereka pun, perniagaan ‘terhormat’ mereka itu telah lama berjalan.

Hari Raya adalah hari untuk berziarah ke rumah sanak saudara, hari untuk mengeratkan silatulrahim dan bermaaf-maafan. Sedang kita seronok berkumpul dan menikmati juadah hari raya, datang pula anak-anak jiran yang dikenali dan tidak dikenali, bersilih ganti. Ada yang datang dengan adab sopan, bersalaman dan menikmati juadah yang dihidangkan kepada mereka. Gembiranya hati melayan mereka dengan keletah yang berbagai tetapi tertib dan menghormati orang tua. Namun, ada pula yang datang semata-mata untuk mendapatkan duit raya tanpa ingin menjamah sebarang juadah! Sudahlah begitu, salam yang diberi terus menjurus kepada menagih duit raya! Bukan niat untuk mengata, jauh sekali dari menghina, namun saya perhatikan saban tahun fenomena mengumpul duit raya semakin menjadi-jadi di kalangan kanak-kanak. Entah di mana silapnya, pemberian duit raya telah menjadi suatu amalan kurafat ‘yang wajib’ dari golongan yang tua kepada yang muda (belum berkahwin), terutama kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa semakin mengamalkan sikap ‘siapa lebih kaya’ dengan seboleh-bolehnya memberi duit raya yang lebih besar jumlahnya berbanding jiran sebelah-menyebelah. Mengikut purata, setiap keluarga dari kelas sederhana akan menyediakan duit raya (secara ikhlas atau terpaksa), di antara RM300 hingga RM500, bergantung kepada jumlah kanak-kanak dari kalangan keluarga dan jiran yang dijangkakan akan berkunjung ke rumah mereka dan yang bakal mereka kunjungi.

Bayangkan pula berapa jumlah perbelanjaan bagi setiap keluarga menjelang sambutan hari raya...? Sekurang-kurangnya sepasang persalinan baju kurung atau baju melayu adalah wajib bagi setiap individu keluarga. Dengan mengandaikan ibubapa hanya membeli masing-masing sepasang persalinan lengkap baju kurung dan baju melayu (termasuk sampin, songkok, butang baju melayu, tudung, dan kerongsang), kasut serta beg tangan, manakala setiap anak pula akan dibelikan sepersalinan baju kurung atau melayu bersama sekurang-kurangnya sepasang pakaian kasual, jumlah perbelanjaan bagi setiap keluarga akan mencecah RM4,000.00 atau lebih, bgi keluarga seramai 6 orang, dengan mengandaikan mereka membeli pakaian berharga sederhana murah. Jumlah ini belum termasuk persedian duit raya. Rasanya ia begitu membebankan.

Memang tidak salah dan tidak siapa pun boleh menegah seseorang itu dari berbelanja lebih jika empunya diri berkemampuan. Permasaalahan yang timbul adalah, tuntutan perbelanjaan yang sebegitu besar sebaik tibanya hari raya, sebenarnya amat menyimpang dari amalan agama islam. Allah s.w.t telah menurunkan perintah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, supaya umat islam dapat menyelami perasaan golongan yang tidak berkemampuan untuk makan dan minum dengan sempurna, di samping menguji keikhlasan beribadat kepadaNya di kalangan ummah. Sebaliknya, dari pemerhatian, didapati umat islam hari ini telah jauh terpesong, bermula dari hidangan berbuka puasa yang berlebih-lebihan sehingga membazir, diikuti dengan persediaan menyambut hari raya yang mengancam ekonomi keluarga dan keharmonian rumah tangga sehingga membawa pergaduhan di antara suami isteri dan juga anak-anak.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari rumah emak di Kota Bharu menuju ke Melaka, saya terserempak dengan beberapa kejadian kemalangan di sepanjang lebuh raya. Apa yang bermain di fikiran saya adalah, mengapa sewaktu OPS sikap masih berjalan dan kenderaan berat seperti lori treler tidak dibenarkan berada di jalan raya pada waktu perayaan ini, kadar kemalangan dan kematian di jalan raya terus meningkat? Kalau dulu kita sering menyalahkan pemanduan berbahaya di kalangan pemandu kenderaan berat dan awam seperti lori dan bas, tetapi sekarang siapa yang perlu dipersalahkan, jika bukan kita sendiri, iaitu pemandu-pemandu kenderaan persendirian. Sikap pemandu yang tidak mahu bertolak ansur dan cepat baran di jalan raya antara faktor penyumbang utama berlakunya kemalangan, di samping struktur jalan dan faktor cuaca. Angka korban kemalangan maut yang melebihi 200 orang bagi jangkamasa kurang dari 10 hari bukanlah membanggakan negara berbanding dengan prasarana yang ada, kerana jalan raya di Malaysia antara yang terbaik di Asia Tenggara. Remaja kita pula masih gah merempit di jalan raya tanpa mengira musim perayaan, seolah mereka mempunyai talian hayat untuk nyawa kedua. Mengikut perangkaan JPJ pula, kadar kemalangan di luar musim perayaan adalah 18 orang maut setiap hari, iaitu angka yang amat membimbangkan. Suatu anjakan berupa perubahan sikap dan pembangunan moral adalah antara langkah awal yang diperlukan segera di kalangan generasi majmuk di Malaysia.

Apa pun kenangan yang kita lalui, diharap ia dapat menjadi iktibar ke arah pembaikan iman dan kendiri kita sebagai muslimin dan muslimat yang hidup dalam era masa yang amat mencabar.

Note: Rencana ini saya tulis sewaktu bersantai di sebuah resort di tepi pantai Batu Manikar di Labuan Sabah, sambil menikmati secawan kopi dan krepek ubi kayu berperisa lada hitam, semuanya buatan Malaysia... Sedap dan berpotensi untuk pasaran di dalam dan luar Negara. Wassalam.

2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?