Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Wednesday, September 09, 2009

Barisan Di Akhirat


Allah berfirman dalam surah Al-Naba' : "Dan pada hari Sengkakala ditiup, maka kamu sekelian datang berbaris-baris".

Ketika ditanya oleh Muaz bin Jabal r.a akan huraian ayat di atas, Rasulullah s.a.w. telah menangis teresak-esak sehingga basahlah pakaian baginda oleh air mata, sambil bersabda: " Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan aku perihal yang teramat berat. Sesungguhnya umatku datang ke Padang Mahsyar untuk menghadapi hisab dalam keadaan mengikut barisan masing-masing, mengikut amalan yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Ada dua belas barisan di Akhirat nanti......".

Dua Belas Barisan Di Akhirat:

Barisan Pertama
Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Mereka adalah orang-orang yang semasa hidupnya menyakiti hati jiran mereka.

Barisan Kedua
Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya meringan-ringankan solat.

Barisan Ketiga
Diiringi dari kubur berbentuk keldai, sedang perut mereka pula dipenuhi ular dan kala jengking. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya enggan membayar zakat.

Barisan Keempat
Diiringi dari kubur dengan darah memancut-mancut keluar dari mulut mereka. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya berdusta atau menipu dalam jual-beli.

Barisan Kelima
Diiringi dari kubur dengan badannya berbau bangkai. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya menyembunyikan perlakuan derhaka mereka terhadap Allah takut diketahui manusia lain, tetapi mereka tidak takut pula kepada Alla s.w.t.

Barisan Keenam
Diiringi dari kubur dengan kepala mereka terputus dari badan. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya menjadi saksi palsu.

Barisan Ketujuh
Diiringi dari kubur dengan mulut mereka mengalir darah dan nanah. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya enggan memberi kesaksian di atas kebenaran.

Barisan Kelapan
Diiringi dari kubur dalam keadaan badan mereka terbalik dengan kepala mereka ke bawah dan kaki ke atas. Mereka adalah orang yang melakukan zina semasa hidupnya.

Barisan Kesembilan
Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api yang marak membakar diri. Mereka adalah orang yang semasa hidupnya telah memakan harta anak yatim melalui cara yang tidak benar.

Barisan Kesepuluh
Diiringi dari kubur dengan tubuh mereka penuh dengan sopak dan nanah dari penyakit kusta. Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa semasa hidupnya.

Barisan Kesebelas
Diiringi dari kubur dengan mata mereka buta, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka mereka lebar sampai ke dada, dan lidah mereka terjulur sampai ke perut dan dari mulut mereka keluar bebagai kotoran yang menjijikkan. Mereka adalah orang yang meminum arak semasa hidupnya.

Barisan Keduabelas
Diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar seperti bulan purnama. Mereka melintasi titian Siratolmustaqim secepat kilat. Mereka adalah orang-orang yang berbuat baik, menjauhi penderhakaan terhadap Allah, memelihara solat, serta meninggal dunia dalam keadaan diri mereka yang sudah bertaubat sesungguh hati kepada Allah, dan tidak mengulangi dosa-dosa mereka yang lampau.

Sesungguhnya hanya barisan keduabelas yang dapat memasuki syurga Allah sedangkan barisan-barisan yang lain akan dihumban ke dalam neraka jahanam.

Jika kta mahukan kemesraan dan kasih sayang dari Allah, hendaklah kita 'garang' dengan diri kita, kerana nafsu dan syaitan sentiasa memujuk kita ke arah kejahatan, berlengah-lengah dari kebaikan dan amat melalaikan. Apabila kita dapat merasakan kemanisan kemesraan dan kasih sayang Allah kepada kita, kita akan menangis keperitan jika terpisah dariNya.




Sue ~ Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami...., Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, sesungguhnya ampunilah dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar kami, kami tak layak memasuki syurga Mu... dan tak sanggup pula menghuni neraka Mu...

Nota: Gambar hiasan di atas telah diambil dari laman blog sdr. Ezamphg untuk pengajaran kita semua. Gadis malang ini telah marah lalu menderhaka kepada ibunya yang sedang membaca Al-Qur'an berhampiran dengan televisyen. Akibat marah kerana ibunya terus sahaja membaca Al-Qur'an, gadis tersebut telah merampas dan menghempas Al-Qur'an ke lantai. Si ibu terus mengutip kalam Allah tersebut lalu memeluknya ke dada dan dengan tiba-tiba anak gadisnya yang menderhaka tadi bertukar rupa kepada keadaan di atas. Mengikut sumber, sekarang gadis itu ditempatkan di sebuah hospital di Oman. Wallahu'alam.

Mimpi Rasulullah S.A.W.


Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan,sebelum aku diisraqkan..."


1- Aku telah melihat seorang umatku telah didatangi seorang malaikat maut dalam keadaan yang amat kasar dan menakutkan untuk mencabut nyawanya, namun malaikat itu terhalang oleh ketaatan dan kepatuhan umatku itu terhadap kedua ibu bapanya. Lalu nyawanya dijemput dengan kemuliaan.

2- Aku telah melihat seorang umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, namun dia terselamat berkat wuduknya yang sempurna.

3- Aku telah melihat seorang umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis laknatullah yang cuba menyesatkannya, namun dia diselamatkan oleh zikir-zikirnya yang ikhlas dan tulus kepada Allah.

4- Aku melihat bagaimana seorang umatku telah diseret dengan rantai yang diperbuat dari api neraka, dan dimasukkan rantai itu dari mulutnya dan dikeluarkan pula dari duburnya oleh malaikat Ahzab, kemudian datang solatnya yang kusyuk serta tidak menunjuk-nunjuk lalu melepaskannya dari siksaan itu.

5- Aku telah melihat umatku dihalang meminum air dari sebuah telaga, sedangkan dia mengalami dahaga yang amat sangat. Lalu datanglah amalan puasanya yang ikhlas kepada Allah memberinya minum air sehingga ia puas.

6- Aku telah melihat umatku dihalang dari mendekati sekumpulan nabi-nabi dalam syurga, kemudian datanglah amalan mandi junub dengan rukun yang sempurna lalu memimpinnya duduk di sebelahku.

7- Aku melihat seorang dari umatku berada dalam kebingungan di tempat yang gelap gelita. Lalu datanglah pahala haji dan umrahnya yang ikhlas kepada Allah lalu membawanya ke tempat yang terang-benderang.

8- Aku melihat seorang umatku sedang menepis-nepis percikan api neraka pada mukanya, lalu datanglah pahala dari amalan sedekahnya yang ikhlas kerana Allah lalu menabiri muka dan kepalanya dari api neraka itu.

9- Aku melihat seorang umatku tidak dibalas sapaannya oleh sekumpulan orang-orang mukmin dalam syurga, lalu datanglah amalan dari sifat silaturrahimnya dan tidak suka bermusuhan lalu menyeru orang mukmin itu supaya menyambut sapaan dan berbicara dengannya.

Monday, September 07, 2009

Alam Roh


1) Pesanan Roh

Apabila roh manusia keluar dari jasadnya, ia akan berkata-kata dan berpesan, lalu seluruh isi alam dapat mendengar kecuali manusia dan jin.

Apabila mayat dibawa untuk dimandikan, roh berpesan: "Wahai orang yang memandikan, aku mohon dengan nama Allah, tanggalkanlah pakaianku perlahan-lahan kerana pada saat ini aku baru sahaja terlepas dari seretan malaikat maut yang amat menyiksakan".

Apabila dimandikan, roh merayu: "Janganlah engkau menuangkan air yang terlalu dingin, serta janganlah engkau menggosok dengan kuat, kerana tubuhku baru sahaja terbakar dan luka-luka sewaktu keluarnya rohku dari jasad".

Sewaktu mayat jasadnya akan dikafankan dan kakinya diikat, roh memanggil-manggil dan merayu lagi: "Wahai saudaraku, janganlah engkau ikat terlalu kuat dan janganlah kau kafani kepalaku, kerana akan menghalang aku dari melihat wajahku sendiri serta anak-anak, isteri (atau suami), pada saat-saat terakhir, kerana aku tidak akan dapat melihat mereka lagi sehinggalah hari Kiamat".

Sebaik dibawa keluar dari rumahnya roh berpesan: " Wahai saudara-saudaraku, hari ini telah ku tinggalkan isteriku menjadi balu, anak-anakku menjadi yatim, janganlah engkau menyakiti mereka... Sesungguhnya aku tidak akan dapat kembali lagi untuk melindungi mereka".

Apabila mayat diletakkan di atas pengusung keranda, roh menyeru kepada jemaah: " Wahai saudara-saudaraku, janganlah engkau percepatkan penghantaranku ke kubur sebelum aku mendengar suara anak-anak, isteri (atau suami) dan saudara-saudaraku buat kali terakhir". Setelah dibawa melangkah sejauh tiga langkah, roh berpesan: " Wahai anak-anakku, wahai isteriku (suamiku) dan saudara-saudaraku, jangan engkau terpedaya oleh dunia sebagaimana ia telah melalaikan aku. Sesungguhnya pada hari ini, aku tinggalkan apa yang telah aku kumpulkan untuk diwariskan, dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahan dan dosa-dosaku. Allah menghisab amalanku, sedangkan mereka bersenang-senang dengan harta yang ku tinggalkan untuk mereka. Sedikitpun mereka tidak mendoakan untukku..."


2) Cara Malaikat Mengeluarkan Roh dari Jasad Manusia
Rasulullah s.a.w. telah bersabda: " Apabila telah sampai ajal sesorang itu, maka malaikat maut masuk ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan menarik roh dalam jasadnya melalui ke dua-dua tapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu ditarik pula rohnya dari perut ke dadanya, kemudian dari dada ke kerongkongnya dan saat ini jasad berada dalam keadaan nazak.

Sabda Rasulullah lagi: " Jika orang yang nazak itu seorang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan melebarkan sayapnya yang di sebelah kanan supaya orang yang sedang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga dan lupalah dia akan orang di sekelilingnya kerana sangat rindunya kepada syurga. Sebaliknya jika orang yang nazak itu seorang yang munafik, maka malaikat Jibrail akan melebarkan sayapnya yang di sebelah kiri supaya orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan lupalah dia akan orang yang di sekelilingnya kerana sangat takut melihat neraka yang bakal dihuninya".

Sebuah hadis meriwayatkan bahawa jika Allah menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya, maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut, maka keluarlah zikir dari mulutnya dan berkata:" Tidak ada jalan bagimu mencabut rohnya dari jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah s.w.t.". Setelah itu malaikat maut cuba pula mencabut roh orang mukmin itu dari arah tangan, lalu berkatalah tangan:" Tidak ada jalan bagimu mencabut rohnya dari arah ini, kerana tangan inilah yang digunanya untuk bersedekah, mengusapi kepala anak-anak yatim dan menulis ilmu yang membawa kebaikan".

Malaikat maut mencuba pula mencabut roh orang mukmin itu dari arah kaki, lalu berkatalah kaki: " Tidak ada jalan bagimu mencabut rohnya dari jalan ini kerana kaki inilah yang berulang alik untuk menunaikan solat berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu". Lalu malaikat maut mencuba pula mencabut roh orang mukmin itu dari telinganya, lalu berkata pula telinga: " Tdak ada jalan bagimu mencabut rohnya dari arah ini kerana telinga inilah yang digunanya untuk mendengar bacaan Qur'an dan zikirullah". Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut roh orang mukmin itu dari arah mata, lalu berkatalah mata: " Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut rohnya dari arah ini kerana mata inilah yang selalu menangis kerana takutkan Allah s.w.t.".

Setelah gagal mencabut roh orang mukmin itu malaikat maut pun kembali mengadap Allah s.w.t dan menceritakan apa yang telah berlaku. Lalu Allah berfirman: " Wahai malaikatku, tuliskanlah asma'Ku di tapak tanganmu dan tunjukkanlah kepada roh hambaKu itu". Setelah mendapat perintah Allah s.w.t. malaikat pun menghampiri roh orang mukmin itu dan menunjukkan asma' Allah kepadanya. Sebaik melihat asma' Allah, maka keluarlah roh orang mukmin itu dari jasadnya melalui arah mulutnya dengan tenang, kerana cintanya yang amat sangat kepada Allah s.w.t.


3) Ke mana Roh Pergi Selepas Kematian

1- Roh para nabi dan utusan Allah menuju ke syurga Adnin.
2- Roh para ulama' menuju ke syurga Firdaus.
3- Roh orang-orang beriman akan menuju ke syurga Illiyyin.
4- Roh para syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5- Roh orang Islam yang berdosa tergantung di udara (tidak di bumi dan tidak di langit),
sehinggalah tiba hari Kiamat.
6- Roh orang kafir akan berada di dalam neraka Sijjin dan akan disiksa bersama jasadnya sehinggalah tiba hari Kiamat.



4) Apa Yang Akan Ditanya
Malaikat Munkar dan Nangkir akan mendatangi setiap roh dan jasad sebaik tiba ke dalam kubur, iaitu setelah jemaah meninggalkan kubur sejauh tiga langkah. Dalam setiap soal jawab, perkara yang paling asas ditanya adalah apakah perbuatan dan amalan yang setiap hamba Allah lakukan pada setiap kali nafasnya dihela masuk dan dihembus keluar. Sedangkan manusia bernafas sekitar 4320 kali dalam sejam, selama beberapa tahun kehidupannya di dunia...


5) Tiga Kelompok Manusia

Rasullah s.a.w. bersabda: " Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh malaikat sebaik keluar dari kubur mereka ialah:

1- Orang yang mati syahid kerana menyebar dan mempertahankan Islam.
2- Orang yang mengerjakan solat malam pada bulan Ramadhan.
3- Orang yang berpuasa pada hari Arafah.


6) Tiga Cahaya di Hari Kiamat
Ada tiga cahaya yang bersinar di hari Kiamat:

1- Cahaya seperti sinaran bintang-bintang.

~adalah dari sinaran wajah mereka yang meninggalkan pekerjaan mereka dan terus berwuduk, serta segera menunaikan solat apabila mendengar azan.

2- Cahaya seperti sinaran bulan.

~adalah dari sinaran wajah mereka yang mengambil wuduk sebelum mendengar azan.

3-
Cahaya seperti sinaran matahari.
~adalah sinaran dari wajah mereka yang bersiap sedia di dalam masjid untuk bersolat,

sebelum mendegar azan.


7) Kala jengking Neraka
Di hari Kiamat nanti akan keluar seekor binatang dari neraka Jahanam bernama 'Huraisy' yang berasal dari anak kala jengking. Besarnya Huraisy ini adalah dari timur ke barat dan panjangnya adalah sejauh jarak langit dan bumi.

Malaikat Jirail menyapa Huraisy: " Hai Huraisy, engkau hendak ke mana dan siapakah yang engkau cari?" Lalu Huraisy menjawab: " Aku hendak mencari lima golongan orang. Pertama orang yang meninggalkan solat, kedua orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat, ketiga orang yang menderhaka kepada ibu bapanya, keempat orang yang bercakap (membesarkan) dunia di dalam masjid dan kelima orang yang suka minum arak".

Sunday, September 06, 2009

Tanda-Tanda Kematian


Kematian adalah kesudahan bagi setiap hayat yang bernyawa. Setiap insan pasti tidak dapat memungkiri janji Allah apabila ajal datang menjemput, walau sedetik pun, dan biar di mana pun kita berada, di darat, di laut, di angkasa, mahupun bersembunyi di dalam kubu yang amat kebal, malaikat maut pasti datang menarik roh keluar dari jasad, untuk kembali mengadap Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah menzalimi hambaNya. Tanda-tanda isyarat kematian yang Allah berikan, meskipun amat mengerikan, bertujuan agar kita dapat bersedia dalam perjalanan terakhir mengadap Allah s.w.t. dengan segera bertaubat, serta menggandakan amalan kita. Malah kita juga dapat menyediakan keadaan diri (jasad) dengan sebaik-baiknya bagi memudahkan penyempurnaan jenazah kita untuk dikebumikan. Seandainya kita dapat merasai tanda-tanda kematian kita, maka sempatlah pula kita berpesan atau berwasiat kepada anak, isteri atau suami, serta sanak saudara yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya nanti. Semua tanda-tanda kematian ini diberikan Allah kepada umat Islam, terutama golongan mukminin, manakala orang-orang kafir dan yang mengingkari perintah Allah semasa hayatnya akan direntap rohnya dengan kasar tanpa sebarang peringatan atau tanda-tanda, sesuai dengan kekufuran mereka terhadap kekuasaan Allah s.w.t.

Rasulullah s.aw. di saat akhir kewafatan baginda, mampu menceritakan kesukaran menghadapi sakaratul maut, dari awal hinggalah berakhirnya hayat baginda. Baginda menceritakan bagaimana malaikat Izrail menangis kesedihan kerana tidak sanggup memisahkan roh dari jasad baginda serta tidak sanggup pula melihat baginda kesakitan sewaktu perjalanan roh baginda ditarik keluar dari jasad, sedangkan Allah telah memerintahkan malaikat Izrail menarik roh baginda dengan cara yang paling lembut di antara hambaNya yang lain. Imam Ghazali pula diriwayatkan memperolehi tanda-tanda kematian beliau sehingga beliau sempat melakukan sendiri sebahagian besar persiapan menghadapi sakaratul maut. Beliau dikatakan dapat memandikan, mewudukkan dan mengkafankan diri beliau sendiri sehinggalah apabila perjalanan rohnya telah sampai ke bahagian kepalanya, beliau terpaksa meminta bantuan abangnya Imam Ahmad Hambali untuk menyambung penyempurnaan jenazah beliau.

Sesungguhnya tanda-tanda kematian itu berlaku dalam beberapa peringkat:

Tanda 100 hari sebelum mati:
Ia berlaku selepas waktu Asar, sama ada disedari atau tidak oleh mereka yang mendapatnya. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga hujung kaki akan mengalami getaran yang seakan-akan menggiggil. Tanda-tanda awal ini jika disedari amat menguntungkan kerana kita mempunyai masa untuk meyiapkan diri mengadap Illahi membayar segala hutang piutang kita terhadap Allah s.w.t. dan sesama manusia.

Tanda 40 hari sebelum mati:
Ia berlaku selepas waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Ketika ini daun yang tertulis nama kita gugur dari pohon yang terletak di Arash. Malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya untuk memisahkan roh dari jasad kita. Ia akan mengikuti kita sepanjang masa dan akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu kepada kita, dan jika ini terjadi, kita akan menjadi bingung seketika. Malaikat maut ini cuma satu namun kuasanya mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum mati:
Tanda ini diberikan kepada mereka yang diberi musibah kesakitan, di mana orang yang sakit tenat atau tidak makan akan tiba-tiba berasa sihat dan berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum mati:
Bahagian tengah dahi iaitu di antara dahi sebelah kiri dan kanan akan berdenyut-denyut. Apabila tanda-tanda ini datang, hendaklah kita berpuasa supaya usus kita tidak mengandungi banyak najis untuk memudahkan urusan memandikan jenazah kita nanti. Ketika ini mata hitam kita juga tidak akan bersinar lagi dan kedudukan hidung kita agak jatuh sedikit jika dilihat dari bahagian sisi. Telinga kita juga akan layu iaitu di bahagian hujungnya akan beransur masuk ke dalam. Tapak kaki kita jika dilunjurkan akan jatuh dan sukar ditegakkan seperti kebiasaannya.

Tanda 1 hari sebelum mati:
Ia juga berlaku selepas waktu Asar. Ubun-ubun di atas kepala kita akan berdenyut-denyut menandakan kita tidak akan sempat menemui waktu Asar keesokkan harinya.

Tanda akhir sebelum mati:
Bahagian pusat kita akan kesejukan dan ia akan turun ke bahagian pinggang dan seterusnya kesejukan ini akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini, janganlah sesekali kita lalai dari mengingati Allah. Ucapkanlah kalimah Syahadah dan berdiam dirilah menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput roh kita kembali kepada Maha Pencipta yang menghidupkan kita selama ini, dan kini mematikan kita pula.

Sue~ Sesungguhnya marilah kita beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Bertaubat dan mohonlah keampunan dari Allah Yang Maha Mengasihi dan Maha Mengampuni, semoga setiap helaan nafas dan gerak jantung kita dipenuhi dengan zikirullah yang menjadikan kita hambaNya yang diberkati. Berdoalah kita agar diberi kesedaran dan peka dengan tanda-tanda kematian kita, semoga kita sempat membuat persiapan terakhir sebelum roh bercerai dari jasad. Dari Allah kita semua datang, kepadaNya jugalah kita akan kembali.

2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?