Saturday, October 03, 2009

Sepanjang Jalan Kenangan


Assalamualaikum,

Semoga semua pembaca yang melayari blog saya berada dalam rahmat Allah selalu serta telah melalui masa yang amat menggembirakan di sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri 1430H yang baru saja berlalu.. Aidilfitri meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan. Ada yang indah, manis, pahit, malah tragis.

Setiap kali menjelang lebaran, berbagai cerita menghiasi dada akhbar tempatan. Para peniaga seronok menghidangkan juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan dan mengutip keuntungan bermusim yang amat lumayan.. Bukankah telah dijanjikan Allah s.w.t, bahawa 9 per 10 dari rezeki hambaNya terkumpul dalam bidang perniagaan? Jadi, usahakan dan petiklah buah keuntungan dari pohon yang rimbun itu.. Jangan kita hanya sekadar membajakan pokok itu dengan menjadi pembeli setia, mencurahkan wang dari poket sedangkan kita sendiri berpeluang mengusahakan berbagai jenis perniagaan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dari perniagaan bermodal kecil seperti juadah berbuka kepada kuih-muih dan biskut raya, kepada yang bermodal sederhana dan besar seperti pakaian muslimin, tudung, kerongsang, kemasan rumah seperti langsir serta sarung kusyen kepada barang kemas, perabut dan berbagai lagi. Tepuk dada, tanyalah ‘budget’, bergantung kepada kemampuan masing-masing. Sekarang bukan lagi zaman kita menunggu peluang, tetapi zaman mencari dan merebut peluang . ‘Yang bulat belum tentu datang bergolek, yang pipih tak bersayap untuk datang melayang.. ‘

Bermula awal Ramadhan lagi kita dipaparkan dengan kisah kanak-kanak terputus jari kerana bermain mercun. Malah ada pula yang buta matanya kerana terkena percikan mercun yang dilemparkan kumpulan remaja yang tidak bertanggungjawab. Siapakah yang akan membela nasib malang kanak-kanak tersebut? Kita hanya menggeleng kepala dan mengeluh tanda simpati, sedangkan nasib kanak-kanak tersebut tidak akan semalang itu jika anak-anak kita terdidik dengan sikap bertanggungjawab dan tidak menjadikan mercun serta bunga api sebagai permainan wajib menjelangnya musim perayaan.

Hati saya berdetik sedih sewaktu menyusuri sebuah bazaar Ramadhan di Melaka, saya melihat isteri dan keluarga seorang anggota polis yang saya kenali begitu angkuh mengaut keuntungan dari jualan bunga api dan mercun kepada pengunjung bazaar tersebut. Di manakah nilai moral serta rasa kebertanggungjawaban mereka kepada sesama anggota masyarakat? Suami dan anggota keluarga mereka bertugas sebagai anggota keselamatan yang terpikul di bahunya tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat, tetapi di beberapa sudut bazaar tersebut mereka menjual barang larangan demi mengaut keuntungan lumayan.

Persoalannya, tidak adakah sedikit nilai kemanusiaan dalam hati kecil mereka, sedangkan mereka bukan sahaja mempunyai anak-anak kecil, tetapi juga melanggar undang-undang negara! Malah apa yang lebih menghairankan saya, bagaimanakah dengan senangnya dan dari manakah mereka mendapat bekalan mercun dan bunga api dalam jumlah yang begitu banyak untuk dijual...?! Aktiviti mereka bukan hanya pada bulan Ramadhan 2009 yang lalu, malah sepanjang 3 tahun saya mengenali mereka, itulah kegiatan mereka pada setiap kali Ramadhan menjelang. Saya kira, sebelum saya mengenali mereka pun, perniagaan ‘terhormat’ mereka itu telah lama berjalan.

Hari Raya adalah hari untuk berziarah ke rumah sanak saudara, hari untuk mengeratkan silatulrahim dan bermaaf-maafan. Sedang kita seronok berkumpul dan menikmati juadah hari raya, datang pula anak-anak jiran yang dikenali dan tidak dikenali, bersilih ganti. Ada yang datang dengan adab sopan, bersalaman dan menikmati juadah yang dihidangkan kepada mereka. Gembiranya hati melayan mereka dengan keletah yang berbagai tetapi tertib dan menghormati orang tua. Namun, ada pula yang datang semata-mata untuk mendapatkan duit raya tanpa ingin menjamah sebarang juadah! Sudahlah begitu, salam yang diberi terus menjurus kepada menagih duit raya! Bukan niat untuk mengata, jauh sekali dari menghina, namun saya perhatikan saban tahun fenomena mengumpul duit raya semakin menjadi-jadi di kalangan kanak-kanak. Entah di mana silapnya, pemberian duit raya telah menjadi suatu amalan kurafat ‘yang wajib’ dari golongan yang tua kepada yang muda (belum berkahwin), terutama kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa semakin mengamalkan sikap ‘siapa lebih kaya’ dengan seboleh-bolehnya memberi duit raya yang lebih besar jumlahnya berbanding jiran sebelah-menyebelah. Mengikut purata, setiap keluarga dari kelas sederhana akan menyediakan duit raya (secara ikhlas atau terpaksa), di antara RM300 hingga RM500, bergantung kepada jumlah kanak-kanak dari kalangan keluarga dan jiran yang dijangkakan akan berkunjung ke rumah mereka dan yang bakal mereka kunjungi.

Bayangkan pula berapa jumlah perbelanjaan bagi setiap keluarga menjelang sambutan hari raya...? Sekurang-kurangnya sepasang persalinan baju kurung atau baju melayu adalah wajib bagi setiap individu keluarga. Dengan mengandaikan ibubapa hanya membeli masing-masing sepasang persalinan lengkap baju kurung dan baju melayu (termasuk sampin, songkok, butang baju melayu, tudung, dan kerongsang), kasut serta beg tangan, manakala setiap anak pula akan dibelikan sepersalinan baju kurung atau melayu bersama sekurang-kurangnya sepasang pakaian kasual, jumlah perbelanjaan bagi setiap keluarga akan mencecah RM4,000.00 atau lebih, bgi keluarga seramai 6 orang, dengan mengandaikan mereka membeli pakaian berharga sederhana murah. Jumlah ini belum termasuk persedian duit raya. Rasanya ia begitu membebankan.

Memang tidak salah dan tidak siapa pun boleh menegah seseorang itu dari berbelanja lebih jika empunya diri berkemampuan. Permasaalahan yang timbul adalah, tuntutan perbelanjaan yang sebegitu besar sebaik tibanya hari raya, sebenarnya amat menyimpang dari amalan agama islam. Allah s.w.t telah menurunkan perintah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, supaya umat islam dapat menyelami perasaan golongan yang tidak berkemampuan untuk makan dan minum dengan sempurna, di samping menguji keikhlasan beribadat kepadaNya di kalangan ummah. Sebaliknya, dari pemerhatian, didapati umat islam hari ini telah jauh terpesong, bermula dari hidangan berbuka puasa yang berlebih-lebihan sehingga membazir, diikuti dengan persediaan menyambut hari raya yang mengancam ekonomi keluarga dan keharmonian rumah tangga sehingga membawa pergaduhan di antara suami isteri dan juga anak-anak.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari rumah emak di Kota Bharu menuju ke Melaka, saya terserempak dengan beberapa kejadian kemalangan di sepanjang lebuh raya. Apa yang bermain di fikiran saya adalah, mengapa sewaktu OPS sikap masih berjalan dan kenderaan berat seperti lori treler tidak dibenarkan berada di jalan raya pada waktu perayaan ini, kadar kemalangan dan kematian di jalan raya terus meningkat? Kalau dulu kita sering menyalahkan pemanduan berbahaya di kalangan pemandu kenderaan berat dan awam seperti lori dan bas, tetapi sekarang siapa yang perlu dipersalahkan, jika bukan kita sendiri, iaitu pemandu-pemandu kenderaan persendirian. Sikap pemandu yang tidak mahu bertolak ansur dan cepat baran di jalan raya antara faktor penyumbang utama berlakunya kemalangan, di samping struktur jalan dan faktor cuaca. Angka korban kemalangan maut yang melebihi 200 orang bagi jangkamasa kurang dari 10 hari bukanlah membanggakan negara berbanding dengan prasarana yang ada, kerana jalan raya di Malaysia antara yang terbaik di Asia Tenggara. Remaja kita pula masih gah merempit di jalan raya tanpa mengira musim perayaan, seolah mereka mempunyai talian hayat untuk nyawa kedua. Mengikut perangkaan JPJ pula, kadar kemalangan di luar musim perayaan adalah 18 orang maut setiap hari, iaitu angka yang amat membimbangkan. Suatu anjakan berupa perubahan sikap dan pembangunan moral adalah antara langkah awal yang diperlukan segera di kalangan generasi majmuk di Malaysia.

Apa pun kenangan yang kita lalui, diharap ia dapat menjadi iktibar ke arah pembaikan iman dan kendiri kita sebagai muslimin dan muslimat yang hidup dalam era masa yang amat mencabar.

Note: Rencana ini saya tulis sewaktu bersantai di sebuah resort di tepi pantai Batu Manikar di Labuan Sabah, sambil menikmati secawan kopi dan krepek ubi kayu berperisa lada hitam, semuanya buatan Malaysia... Sedap dan berpotensi untuk pasaran di dalam dan luar Negara. Wassalam.

No comments:

2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?