1) PERKARA ASAS DALAM SOLAT
1-Bacaan-bacaan Asas Solat
Ia melibatkan bacaan surah Al-Fatihah (wajib)pada setiap rakaat, diikuti bacaan satu surah lazim pada setiap rakaat pertama dan kedua. Tidak ada bacaan surah lazim lagi pada rakaat ketiga (solat Maghrib), dan tidak ada bacaan surah lazim lagi pada rakaat ketiga dan keempat (solat Zuhur, ‘Asar dan Isyak).
Surah-surah lazim ini boleh diambil dari mana-mana surah sepert yang telah dinyatakan sebelum ini. Sila rujuk Muqadam untuk menghafal lebih banyak pilihan surah-surah yang boleh digunaka semasa bersolat.
2-Perlakuan Semasa Solat
i) Sewaktu bersolat, kita mestilah memberikan sepenuh tumpuan kepada bacaan yang dilafazkan dan sentiasa mengingati Allah s.w.t. Cara yang paling mudah adalah dengan mempelajari erti setiap patah bacaan (mengetahui makna bacaan). Dengan cara ini kita akan memperolehi kekusyukan dalam bersolat. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka orang-orang yang lalai dalam solatnya. Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:
“Kecelakaanlah bagi mereka yang bersolat sedangkan mereka lalai dari solatnya"
Nabi Muhammad s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang lalai hatinya sewaktu solat, tidak mendapat suatu apapun kecuali penat”.
ii) Sewaktu berada pada kedudukan tahiyat awal dan akhir, ketika kita melafazkan Syahadah sebagai persaksian ke atas KeEsaan Allah s.w.t. yang bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Allah”, jari telunjuk kanan mestilah dinaikkan lurus 180 darjah, menunjuk ke arah Kiblat, sebagai mengiyakan dan menguatkan persaksian kita.
iii) Solat melatih kita supaya berdisiplin. Sewaktu bersolat pergerakan di luar rukun yang berulang-ulang melebihi 3 kali dan bukan dalam keadaan darurat akan membawa kepada hukum makruh, malah boleh membatalkan solat seseorang.
iv) Bagaimanapun jika di dalam keadaan darurat, seseorang yang sedang bersolat dibolehkan melakukan pergerakan-pergerakan di luar rukun, seperti yang diriwayatkan bahawa Sayyidatina Fatimah r.a., pernah duduk sekejap menyusukan puteranya, sewaktu masih dalam keadaan bersolat, disebabkan puteranya sedang menangis kelaparan. Asalkan tidak ada perkataan yang diucapkan selain dari bertasbih dan berzikir kepada Allah, solat kita masih sah.
2)SOLAT ORANG UZUR
Bagi mereka yang uzur dan tidak mampu berdiri, Allah s.w.t. telah meringankan cara untuk mereka bersolat dengan berbagai cara, sama ada bersolat secara berdiri, duduk, berbaring mengiring atau pun terlentang, sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh Daraqutni daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“ Orang yang sakit hendaklah mendirikan solat sambil berdiri jika dia berdaya. Jika tidak berdaya, solatlah sambil duduk. Jika tidak berdaya untuk sujud, isyaratkan dengan kepalanya dan jadikan sujudnya lebih rendah dari rukuk. Kalau tidak berdaya melakukan solat duduk, solatlah sambil berbaring di atas rusuk kanan dengan muka mengadap kiblat. Kalau tidak berdaya solat di atas rusuk kanan, solatlah sambil tidur terlentang dengan kedua-dua kaki dihalakan ke arah kiblat.”
i-Solat Berdiri
Bagi mereka yang sakit tapi masih mampu solat berdiri dengan sempurna, digalakkan bersolat berdiri kerana inilah sebaik-baik solat dan sempurna.
ii-Solat Duduk
1- Duduklah sama ada seperti kita duduk dalam tahiyat awal atau duduk di antara 2 sujud. Ini dipanggil duduk ‘iftirasy’. Perbezaannya hanya tidak berdiri, digantikan dengan posisi duduk. Dari segi bacaan dan rukun solat semuanya sama.
2- Setelah takbiratulihram, baca doa ‘iftitah, kemudian baca surah Al-Fatihah dan bacalah surah lazim.
3- Selepas itu rukuk. Rukuk dalam solat duduk adalah dengan menundukkan badan ke hadapan (mengambil posisi 45 darjah dari lantai), dan kedua-dua tangan diletakkan di atas lutut.
4- Selepas bangkit dari rukuk, ‘iktidal iaitu duduk dalam keadaan sama seperti mula solat dan kedua-dua tangan diletakkan di atas paha atau lutut.
5- Kemudian sujudlah, sama ada sujud seperti solat biasa, atau dengan posisi duduk tetapi badan ditundukkan lebih rendah dari posisi sewaktu rukuk dalam solat duduk (mengambil posisi 30 atau 35 darjah dari lantai), mengikut kemampuan badan.
6- Selepas itu bangkit dan duduk di antara 2 sujud.
7- Kemudian lakukan sujud kedua.
8- Selepas itu bangkit dan ambil posisi duduk seperti Tahiyat awal balik untuk mendirikan raat kedua dan lakukan perkara yang sama mengikut bilangan rakaat yang diperlukan, sehingga sujud akhir dan salam.
iii-Solat Berbaring
Bagi mereka yang uzur dan tidak berdaya untuk solat berdiri mahupun solat duduk, mereka dibenarkan solat berbaring. Cara solat berbaring terbahagi kepada dua:
a- Berbaring di atas tulang rusuk kanan.
Di sini pun hanya kedudukannya sahaja yang berbeza, sedangkan semua bacaannya sama. Tidak banyak pergerakan yang terlibat. Hanya pergerakan berupa isyarat di kepala ketika ruku’ dan sujud sahaja.
Ruku’dan sujud diisyaratkan dengan kepala iaitu ditundukkan sedikit. Jika tidak berdaya untuk menggerakkan kepala, pesakit bolehlah membuat isyarat melakukan ruku’ dan sujud dengan isyarat pandangan mata yang direndahkan. Bagaimanapun, jika tidak berdaya membuat isyarat mata, maka dibolehkan sekadar ingat atau berniat ruku’ dan sujud di dalam hati sahaja.
b- Berbaring terlentang
Bagi mereka yang terlalu uzur dan tidak berdaya untuk berbaring di atas rusuk kanan, mereka dibenarkan menunaikan solat secara berbaring terlentang, dengan kepala ditinggikan sedikit dan kaki dihalakan ke arah Kiblat. Untuk ruku’ dan sujud hanya isyarat mata yang diperlukan. Jika tidak mampu juga menggunakan isyarat mata, mereka boleh sekadar menggunakan isyarat hati, iaitu ingat atau berniat melakukan ruku’ dan sujud. Bacaan-bacaannya tetap sama.
No comments:
Post a Comment