SOLAT QASAR DAN JAMAK
Setelah kita memahami cara mendirikan solat fardhu lima waktu sewaktu sihat secara sempurna dan seadanya ketika uzur, sama-samalah kita mengamalkan dan menjaga ibadah solat kita supaya tidak lagi terdapat alasan untuk meninggalkannya. Semoga Allah s.w.t. merahmati kita dan mempermudahkan urusan hidup kita di dunia dan akhirat, sebagaimana kita mempermudahkan diri kita untuk menunaikan perintah Allah s.w.t. yang wajib ini.
Bagi mereka yang sering berpergian samada untuk tugasan pekerjaan, perniagaan, menuntut ilmu, bahkan untuk menziarahi keluarga atau bercuti, Allah s.w.t. memberi kemudahan (rukhsoh) kepada mereka dalam menunaikan solat fardhu. Islam menggalakkan umatnya berhijrah, mengembara sejauh mungkin di atas bumi Allah s.w.t. untuk memenuhi tuntutan hidup, selagi tujuannya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kemudahan ini dinamakan solat Qasar dan solat Jamak. Sesungguhnya Islam itu indah dan mudah.
1-SOLAT QASAR
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:
“Dan apabila kamu berjalan di muka bumi maka tiada halangan bagi kamu mengqasarkan solatmu” (Surah An-Nisaa’ ayat 101).
Qasar dalam bahasa Arab bermaksud pendek atau ringkas. Solat Qasar bermakna solat fardhu yang diringkaskan atau dipendekkan, daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja. Solat fardhu yang boleh diqasarkan adalah solat fardhu yang mempunyai 4 rakaat iaitu Zuhur, ‘Asar dan Isyak. Solat Subuh (2 rakaat) dan solat Maghrib (3 rakaat) TIDAK boleh diqasarkan. Kedua solat ini mesti dicukupkan rakaatnya seperti biasa.
Cara Dan Lafaz Niat solat Qasar
Cara melakukan solat Qasar sama sahaja dengan cara solat fardhu biasa. Cuma berbeza pada bilangan rakaatnya yang dipendekkan kepada 2 rakaat dan salam. Sementara niatnya pula adalah berniat mendirikan solat Qasar 2 rakaat di dalam hati, dan melafazkannya supaya lebih tumpuan, seperti berikut:
1- Lafaz niat qasar solat Zuhur:
“Usolli fardhozzohri qasraan raka’ataini lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat Zuhur, qasar 2 rakaat kerana Allah Ta’ala)
2- Lafaz niat qasar solat ‘Asar:
“Usolli fardhol ‘Asri qasraan raka’ataini lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat ‘Asar, qasar 2 rakaat kerana Allah Ta’ala)
3- Lafaz niat qasar solat Isyak:
“Usolli fardhol isya’ qasraan raka’ataini lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat isyak, qasar 2 rakaat kerana Allah Ta’ala)
(Nota: Selepas Lafaz niat, kita dirikan solat mengikut rukun solat seperti biasa sehingga sujud akhir di rakaat kedua, lalu membaca Tahiyat akhir dan memberi salam.)
Syarat Mendirikan Solat Qasar:
1-Jarak Perjalanan Melebihi 2 Marhalah
Solat Qasar hanya boleh didirikan jika jarak sesuatu perjalanan itu melebihi dari 91 kilometer (56 batu), iaitu tidak kurang dari 2 marhalah, samada secara berjalan kaki, menaiki kenderaan darat, udara mahupun laut. Kedua jenis solat ini boleh didirikan sebaik kita keluar dari rumah iaitu sebaik kita memulakan perjalanan kita.
2-Tidak Bermukim Secara Kekal
Perjalanan yang dibuat itu mestilah bersifat sementara (kerana tugasan tertentu), iaitu tidak berniat untuk bermukim secara kekal atau menetap di tempat yang diziarahinya sewaktu dalam perjalanan, dan sebaik tugasannya selesai seseorang itu akan kembali ke tempat asal atau rumahnya.
3-Tempoh perjalanan
Ada beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara ini. Mengikut Imam Shafi’e, seseorang yang tinggal melebihi 3 hari di sesuatu tempat (tidak termasuk hari tiba dan hari pulang), dikira sudah bermukim di tempat itu, bermakna selepas 3 hari tidak boleh lagi mendirikan solat Qasar, kecuali dia masih menjalankan tugas tertentu dan akan meninggalkan tempat tersebut sebaik tugasannya selesai. Jika demikian, dibolehkan solat Qasar baginya selama 18 hari dan selebihnya dia mesti mendirikan solat fardhu secara biasa. Pendapat ini berdasarkan kepada Hadis riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Abbas yang bermaksud:
“Nabi s.a.w. bermukim dalam salah satu perjalanan selama 19 hari dan bersolat dua-dua rakaat. Maka kami pun apabila bermukim 19 hari kami akan bersolat dua rakaat, dan kalau lebih daripada itu kami akan cukupkan.”
Hadis ini diriwayatkan sempena perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Kota Mekah sewaktu pembebasan kota tersebut. Tempoh 19 hari yang dimaksudkan adalah termasuk hari baginda berangkat meninggalkan Mekah untuk melanjutkan perjalanan baginda dan rombongan ke Hunain. Ertinya, tempoh sebenar baginda bermukim adalah 18 hari.
Menurut Imam Abu Hanifah pula, solat Qasar dibolehkan selama mana seseorang itu belum selesai menjalankan tugasannya di sesuatu tempat, dan dia tidak bermaksud untuk menetap atau bermastautin di tempat tersebut.
Hukum Solat Qasar
Mengikut Imam Syafi’e, sekiranya perjalanan itu melalui jarak jarak lebih dari 2 marhalah tetapi kurang dari 3 marhalah, hukumnya harus. Tetapi jika perjalanan itu melebihi 3 marhalah, hukum solat Qasar adalah lebih afdhal dari solat Tamam (solat 4 rakaat).
Mengikut Ibnu Qayyim pula, Rasulullah s.a.w. tidak mengerjakan solat 4 rakaat sewaktu baginda di dalam perjalanan, tetapi baginda sentiasa mengqasarkan solatnya. Menurut beliau lagi, Sayyidina Umar, Ali, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu Umar,Jabir dan Abu Hanifah telah menetapkan bahawa solat Qasar hukumnya adalah wajib.
Berdasarkan Hadis riwayat Ya’ala bin Umaiyyah, Umar Ibnul Khattab pernah bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai solat Qasar dan baginda menjawab;
“Sesungguhnya ia merupakan sedekah Allah yang dikurniakanNya kepada kamu semua, maka terimalah sedekahNya itu.”
2-SOLAT JAMAK
Jamak dalam bahasa Arab bermakna menggabungkan atau mengumpulkan. Solat Jamak adalah sejenis lagi solat yang dipermudahkan (rukhsoh) oleh Allah s.w.t. untuk umat Islam yang sedang dalam perjalanan yang jauh. Solat Jamak bermakna solat yang menggabungkan 2 solat fardhu dan dilakukan dalam satu waktu. Contohnya, solat Zuhur digabungkan dengan solat ‘Asar dan keduanya dilakukan dalam waktu Zuhur atau sebaliknya. Manakala solat Maghrib pula digabungkan dengan solat Isyak dan dilakukan dalam waktu Isyak atau sebaliknya.
Terdapat 4 solat fardhu yang dibenarkan Jamak, iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan Isyak. Solat Subuh TIDAK boleh dijamakkan.
Syarat Mendirikan Solat Jamak:
1-Jarak Perjalanan Melebihi 2 Marhalah
Syarat jarak perjalanan yang perlu untuk mendirikan solat Jamak, sama sahaja dengan syarat solat Qasar, iaitu melebihi 2 Marhalah (91 km). Bagaimanapun, berdasarkan beberapa keterangan Hadis, para ulamak merumuskan bahawa solat Jamak dibolehkan pada waktu darurat, di mana seseorang itu tidak perlu bermusafir dan jarak perjalanan sejauh 2 marhalah tidak diperlukan. Contohnya, jika sewaktu kita solat Maghrib secara berjemaah di masjid, hujan turun dengan lebat dan ia akan menyusahkan kita untuk datang lagi ke masjid untuk berjemaah Isyak. Maka diharuskan kita menjamakkan solat Isyak pada waktu Maghrib, sebelum kita keluar dari masjid tersebut.
2-Tidak Bermukim Secara Kekal.
3-Tempoh Perjalanan.
Sama tempohnya seperti solat Qasar.
Jenis-jenis Solat Jamak:
1-Jamak Taqdim
Jamak Taqdim adalah solat Jamak yang didahulukan (diawalkan). Kita mendirikan solat Zuhur dan solat ‘Asar secara Jamak pada waktu Zuhur. Kita menjamakkan solat Maghrib dan solat Isyak ada waktu Maghrib. Kedua-dua contoh ini adalah solat Jamak Taqdim.
2-Jamak Ta’khir
Jamak Ta’khir pula adalah solat Jamak yang dikemudiankan. Kita mendirikan solat Zuhur dan solat ‘Asar secara Jamak pada waktu ‘Asar. Kita menjamakkan solat Maghrib dan solat Isyak pada waktu Isyak. Kedua-dua contoh ini adalah solat Jamak Ta’khir.
Terpulang kepada individu untuk memilih melakukan Jamak Taqdim atau Jamak Ta’khir mengikut masa dan kemudahan yang ada padanya. Terdapat sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik r.a. bermaksud;
“Bahawa Nabi s.a.w. apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, baginda menangguhkan Zuhur hingga ke waktu ‘Asar, kemudian baginda turun lalu menjamakkan kedua-duanya. Tetapi sekiranya gelincir matahari sebelum baginda berangkat, baginda menunaikan solat Zuhur, lalu berangkat”
(Hadis di atas bermaksud; Sekiranya Rasulullah s.a.w. berangkat sebelum masuk waktu, baginda akan melakukan Jamak Ta’khir. Tetapi jika baginda berangkat setelah masuk waktu, baginda akan menunaikan solat fardhu Zuhur terlebih dahulu, sebelum baginda berangkat).
Cara Dan Lafaz Niat Solat Jamak
1-Cara-cara Solat Jamak
Terdapat 2 cara mendirikan solat Jamak. Kita boleh menjamakkan sahaja 2 solat fardhu pada 1 waktu ATAU kita boleh menjamakkan dan mengqasarkan sekaligus 2 solat farhdu pada 1 waktu.
Jika kita menjamakkan 2 solat fardhu, kita masih mengekalkan bilangan rakaat bagi setiap fardhu berserta dengan bacaan-bacaannya. Hanya niatnya yang berbeza. Solat fardhu yang boleh dilakukan mengikut cara ini adalah Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan Isyak (Tidak perlu bilangan rakaat yang sama di antara kedua-dua solat yang dijamakkan).
Jika kita menjamakkan dan juga mengqasarkan 2 solat fardhu pada 1 masa, kita bukan sahaja mengumpul 2 solat pada 1 waktu, bahkan kita juga berpeluang memendekkan bilangan rakaat bagi setiap solat fardhu yang dijamakkan, kecuali bilangan rakaat Maghrib mesti dikekalkan, meskipun ia boleh dijamakkan bersama Isyak (hanya Isyak sahaja yang boleh diqasarkan kepada 2 rakaat). Solat yang boleh didirikan mengikut cara ini adalah Zuhur, ‘Asar dan Isyak. Maghrib boleh dijamakkan tetapi TIDAK boleh diqasarkan. Subuh pula TIDAK boleh dijamakkan dan TIDAK boleh diqasarkan.
Dalam kedua-dua cara di atas, setelah selesai solat pertama, kita tidak perlu membaca wirid atau doa, tetapi perlu terus mendirikan solat yang kedua, tanpa senggang masa yang lama di antara 2 solat tersebut. Selepas selesai solat kedua barulah disunatkan berwirid dan berdoa.
Ketika melakukan Jamak Taqdim mahupun Jamak Ta’khir bagi fardhu Maghrib dan Isyak, kita boleh mendahulukan mana-mana di antara 2 fardhu tersebut, tanpa perlu mengikut susunan waktu solat. Contohnya kita boleh menyempurnakan dahulu solat Maghrib, diikuti solat Isyak (atau Qasar serentak). Kita juga boleh mendahulukan solat Isyak sebelum menyempurnakan Maghrib. Bagaimanapun, untuk solat Zuhur dan ‘Asar kita mesti mendahulukan solat Zuhur, kemudian diikuti solat ‘Asar, dan tidak boleh sebaliknya.
2-Lafaz Niat Solat Jamak
1-Solat Maghrib - Jamak Taqdim:
~ Kita menjamakkan Maghrib dalam waktu Maghrib~
“Usolli fardhol Maghribi thalaatha raka’atin, jam’a taqdiimin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat, Jamak Taqdim kerana Allah Ta’ala)
2-Solat Isyak - Qasar dan Jamak Taqdim:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan Isyak ke dalam waktu Maghrib ~
“Usolli fardhol ‘isya’ qasraan, raka’ataini jam’a taqdiimin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat ‘isyak, qasar 2 rakaat, Jamak Taqdim kerana Allah Ta’ala)
3-Solat Maghrib - Jamak Ta’khir:
~ Kita menjamakkan Maghrib dalam waktu Isyak ~
“Usolli fardhol maghribi thalaatha raka’atin, jam’a ta’khiirin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat, Jamak Ta’khir kerana Allah Ta’ala)
4-Solat Isyak – Qasar dan Jamak Ta’khir:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan solat Isyak dalam waktu Isyak ~
“Usolli fardhol ’isya’ qasraan, raka’ataini, jam’a ta’khiirin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu ‘isyak, qasar 2 rakaat kerana Allah Ta’ala )
5-Solat Zuhur – Qasar dan Jamak Taqdim:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan solat Zuhur pada waktu Zuhur ~
“Usolli fardhol zohri qasraan, raka’ataini, jam’a taqdiimin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur, qasar 2 rakaat, Jamak Taqdim kerana Allah Ta’ala)
6-Solat ‘Asar – Qasar dan Jamak Taqdim:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan solat ‘Asar ke dalam waktu Zuhur ~
“Usolli fardhol ‘Asri qasraan, raka’ataini jam’a taqdiimin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu ‘Asar, qasar 2 raka’at, jamak taqdim kerana Allah Ta’ala)
7-Solat Zuhur – Qasar dan Jamak Ta’khir:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan solat Zuhur dalam waktu ‘Asar ~
“Usolli fardhol Zohri qasraan, raka’ataini jam’a ta’khiirin, lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur, qasar 2 raka’at, jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala)
8-Solat ‘Asar – Qasar dan Jamak Ta’khir:
~ Kita menjamakkan dan mengqasarkan solat ‘Asar pada waktu ‘Asar ~
“Usolli fardhol ‘Asri qasraan, raka’ataini, jam’a ta’khiirin lillahi ta’ala”
(Sahaja aku solat ‘Asar, qasar 2 rakaat, jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala)
JAMAK SOLAT JUMAAT
Selain daripada kemudahan Jamak dan Qasar bagi solat fardhu, umat Islam juga boleh menjamakkan solat Jumaat jika perlu. Ini kerana, solat Jumaat adalah mengambil tempat solat fardhu Zuhur pada setiap hari Jumaat. Jamak untuk solat Jumaat mesti dilakukan secara Jamak Taqdim dengan solat ‘Asar, dan mesti dilakukan secara berjemaah dengan ahli-ahli jemaah yang lain.
Seseorang yang bermusafir atau dalam perjalanan, boleh memilih samada mahu menunaikan solat Jumaat secara biasa, atau menjamakkan Jumaat dengan solat ‘Asar. Bagaimanapun dia boleh juga menjamakkan dan mengqasarkan solat zuhur dan ‘Asar, kerana sewaktu bermusafir, solat Jumaat tidak diwajibkan.
Rujukan: Siri Panduan Solat: Shamsudin Othman, Wholesale-Mart Business Point S/B,2004.
No comments:
Post a Comment