Sunday, September 06, 2009

Tanda-Tanda Kematian


Kematian adalah kesudahan bagi setiap hayat yang bernyawa. Setiap insan pasti tidak dapat memungkiri janji Allah apabila ajal datang menjemput, walau sedetik pun, dan biar di mana pun kita berada, di darat, di laut, di angkasa, mahupun bersembunyi di dalam kubu yang amat kebal, malaikat maut pasti datang menarik roh keluar dari jasad, untuk kembali mengadap Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah menzalimi hambaNya. Tanda-tanda isyarat kematian yang Allah berikan, meskipun amat mengerikan, bertujuan agar kita dapat bersedia dalam perjalanan terakhir mengadap Allah s.w.t. dengan segera bertaubat, serta menggandakan amalan kita. Malah kita juga dapat menyediakan keadaan diri (jasad) dengan sebaik-baiknya bagi memudahkan penyempurnaan jenazah kita untuk dikebumikan. Seandainya kita dapat merasai tanda-tanda kematian kita, maka sempatlah pula kita berpesan atau berwasiat kepada anak, isteri atau suami, serta sanak saudara yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya nanti. Semua tanda-tanda kematian ini diberikan Allah kepada umat Islam, terutama golongan mukminin, manakala orang-orang kafir dan yang mengingkari perintah Allah semasa hayatnya akan direntap rohnya dengan kasar tanpa sebarang peringatan atau tanda-tanda, sesuai dengan kekufuran mereka terhadap kekuasaan Allah s.w.t.

Rasulullah s.aw. di saat akhir kewafatan baginda, mampu menceritakan kesukaran menghadapi sakaratul maut, dari awal hinggalah berakhirnya hayat baginda. Baginda menceritakan bagaimana malaikat Izrail menangis kesedihan kerana tidak sanggup memisahkan roh dari jasad baginda serta tidak sanggup pula melihat baginda kesakitan sewaktu perjalanan roh baginda ditarik keluar dari jasad, sedangkan Allah telah memerintahkan malaikat Izrail menarik roh baginda dengan cara yang paling lembut di antara hambaNya yang lain. Imam Ghazali pula diriwayatkan memperolehi tanda-tanda kematian beliau sehingga beliau sempat melakukan sendiri sebahagian besar persiapan menghadapi sakaratul maut. Beliau dikatakan dapat memandikan, mewudukkan dan mengkafankan diri beliau sendiri sehinggalah apabila perjalanan rohnya telah sampai ke bahagian kepalanya, beliau terpaksa meminta bantuan abangnya Imam Ahmad Hambali untuk menyambung penyempurnaan jenazah beliau.

Sesungguhnya tanda-tanda kematian itu berlaku dalam beberapa peringkat:

Tanda 100 hari sebelum mati:
Ia berlaku selepas waktu Asar, sama ada disedari atau tidak oleh mereka yang mendapatnya. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga hujung kaki akan mengalami getaran yang seakan-akan menggiggil. Tanda-tanda awal ini jika disedari amat menguntungkan kerana kita mempunyai masa untuk meyiapkan diri mengadap Illahi membayar segala hutang piutang kita terhadap Allah s.w.t. dan sesama manusia.

Tanda 40 hari sebelum mati:
Ia berlaku selepas waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Ketika ini daun yang tertulis nama kita gugur dari pohon yang terletak di Arash. Malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya untuk memisahkan roh dari jasad kita. Ia akan mengikuti kita sepanjang masa dan akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu kepada kita, dan jika ini terjadi, kita akan menjadi bingung seketika. Malaikat maut ini cuma satu namun kuasanya mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum mati:
Tanda ini diberikan kepada mereka yang diberi musibah kesakitan, di mana orang yang sakit tenat atau tidak makan akan tiba-tiba berasa sihat dan berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum mati:
Bahagian tengah dahi iaitu di antara dahi sebelah kiri dan kanan akan berdenyut-denyut. Apabila tanda-tanda ini datang, hendaklah kita berpuasa supaya usus kita tidak mengandungi banyak najis untuk memudahkan urusan memandikan jenazah kita nanti. Ketika ini mata hitam kita juga tidak akan bersinar lagi dan kedudukan hidung kita agak jatuh sedikit jika dilihat dari bahagian sisi. Telinga kita juga akan layu iaitu di bahagian hujungnya akan beransur masuk ke dalam. Tapak kaki kita jika dilunjurkan akan jatuh dan sukar ditegakkan seperti kebiasaannya.

Tanda 1 hari sebelum mati:
Ia juga berlaku selepas waktu Asar. Ubun-ubun di atas kepala kita akan berdenyut-denyut menandakan kita tidak akan sempat menemui waktu Asar keesokkan harinya.

Tanda akhir sebelum mati:
Bahagian pusat kita akan kesejukan dan ia akan turun ke bahagian pinggang dan seterusnya kesejukan ini akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini, janganlah sesekali kita lalai dari mengingati Allah. Ucapkanlah kalimah Syahadah dan berdiam dirilah menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput roh kita kembali kepada Maha Pencipta yang menghidupkan kita selama ini, dan kini mematikan kita pula.

Sue~ Sesungguhnya marilah kita beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Bertaubat dan mohonlah keampunan dari Allah Yang Maha Mengasihi dan Maha Mengampuni, semoga setiap helaan nafas dan gerak jantung kita dipenuhi dengan zikirullah yang menjadikan kita hambaNya yang diberkati. Berdoalah kita agar diberi kesedaran dan peka dengan tanda-tanda kematian kita, semoga kita sempat membuat persiapan terakhir sebelum roh bercerai dari jasad. Dari Allah kita semua datang, kepadaNya jugalah kita akan kembali.

No comments:

2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?