1) Peliharalah Hak Allah dan RasulNya
Allah s.w.t telah berfirman: " Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, Allah s.w.t. akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai, dan barangsiapa yang berpaling (yakni tidak taat kepada Allah) nescaya ia diberi azab yang amat pedih ". (Surah Al-Fath: Ayat 17)
Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Pencipta, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Allah s.w.t telah mencipta alam semesta dan sekelian makhlukNya.
" Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepadamu, maka kamu tidak akan dapat menghitungnya satu persatu ". (Surah Ibrahim: Ayat 34).
Sesungguhnya asal manusia hanyalah dari segumpal tanah, kerana dari tanahlah Allah s.w.t. telah mencipta Nabi Adam a.s., bapa kepada semua keturunan manusia. Setelah itu Allah ciptakan pula Hawa iaitu isteri Nabi Adam, ibu kepada semua keturunan manusia, dari tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. sendiri.
Kemudian Allah s.w.t. menjadikan keturunan manusia berkembang dari hubungan sepasang ibu bapa ini melalui setitik air mani lalu dikandung oleh si ibu. Setelah Allah s.w.t. menghidupkan roh janin di dalam rahim si ibu, lalu lahirlah seorang manusia yang sempurna sifat-sifatnya sebagaimana kehendak Allah s.w.t. Manusia dikurniakan denga segala pancaindera yang lengkap untuk hidup; mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk bercakap, makan dan minum, kaki dan tangan untuk berjalan, berpegang dan melakukan berbagai-bagai pekerjaan lain. Akhirnya manusia itu dikurniakan dengan otak yang dilengkapi dengan akal dan fikiran untuk mentadbir kehidupannya, memilih dan membezakan di antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk.
Firman Allah s.w.t: " Dan Allah s.w.t.mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan kamu tidak mengetahui sesuatu apapun dan Dia mengurniakan kepadamu pendengaran dan penglihatan, serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur ". (Surah An-Nahl: Ayat 78).
Kewajipan pertama yang mesti kita lakukan adalah mengenal dan beriman kepada Allah s.w.t. Taatlah kepada segala perintahNya, tunaikan segala suruhanNya dan tinggalkanlah segala laranganNya. Tingkatkan amalan soleh dan jauhi godaan hawa nafsu serta pujukan syaitan yang menyesatkan. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengutuskan para rasulNya sehinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk membimbing umat manusia ke jalan yang lurus dan menerangkan segala peraturan hidup di dunia, serta perkhabaran mengenai alam Akhirat, iaitu balasan syurga dan neraka bagi setiap amalan dan perlakuan yang dilakukan oleh setiap manusia di dunia. Garis panduan ini jelas dimaksudkan dalam kandungan Rukun Iman agama Islam yang suci :
1~Beriman kepada Allah:(meyakini Allah s.w.t. sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta)
2~Beriman kepada Rasul-rasul Allah(meyakini ajaran rasul-rasul Allah)
3~Beriman kepada Malaikat Allah :(meyakini wujudnya malaikat-malaikat Allah)
4~Beriman kepada Kitab Allah :(meyakini ajaran yang ada dalam Al-Quran)
5~Beriman kepada Hari Kiamat :(meyakini akan wujudnya Hari Kiamat yang mengakhiri kehidupan dunia yang fana' dan akan digantikan dengan dunia Akhirat yang kekal)
6~Beriman kepada Qada' dan Qadar Allah :(meyakini ketentuan dari Allah s.w.t.)
Allah s.w.t juga telah mengajar manusia menunjukkan kepatuhan kepadaNya dan para rasulNya melalui Rukun Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w:
1~ Mengucap dua kalimah syahadah:
"Assyhadu an Laa ilaa ha illallah, wa assyhadu anna Muhammadarrasulullah "
(Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah rasulullah - Syahadah adalah pengakuan paling penting dalam penentuan aqidah seseorang manusia sebagai seorang Islam).
2~ Mendirikan Solat fardhu (wajib) lima kali sehari semalam:
(Solat Subuh dua rakaat; solat Dhuhur empat rakaat; solat Asar empat rakaat; solat Maghrib tiga rakaat dan solat Isyak empat rakaat).
3~ Berpuasa di bulan Ramadhan :
(wajib berpuasa pada siang hari di bulan Ramadhan kecuali mereka yang terlalu uzur kerana sakit atau umur yang tua, serta wanita yang berhadas dengan darah haid atau nifas (darah dari ibu yang baru bersalin).
4~ Mengeluarkan zakat apabila cukup nisabnya:
(Membayar zakat harta perseorangan dan zakat dari hasil keuntungan perniagaan)
5~ Menunaikan Haji di Mekah:
jika berkemampuan dari segi harta dan tenaga.
Sesungguhnya keimanan seseorang itu tidak mencapai tahap kesempurnaan selagi hatinya tidak benar-benar kasih dan taat kepada Allah s.w.t, melebihi dari segala yang dikasihinya di dunia ini.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w: " Tidak sempurna iman seseorang itu, sehinggalah ia mengasihi Allah s.w.t. melebihi kasihnya terhadap ayah, anak dan manusia semua".
Dari Allah kita datang dan kepadaNya juga kita akan dikembalikan. Justeru, taat dan patuhlah kepada Allah s.w.t yang mencipta dan akan mematikan kita.
2) Peliharalah Hak Ibu Bapa
Asas bagi setiap kehidupan manusia (selain Adam dan Hawa), adalah hasil dari hubungan di antara ibu dan bapanya. Seorang ibu mengandungkan setiap orang anaknya selama purata sembilan bulan dalam keadaan serba kesukaran, baik dari segi fizikal mahu pun mental. Apabila tiba saat kelahiran, seorang ibu akan sanggup menggadaikan nyawanya demi memberi laluan dan membolehkan anak yang dikandungnya selamat dilahirkan ke dunia ini. Allah s.w.t. telah memuliakan martabat dan pengorbanan setiap ibu terhadap anaknya dengan meletakkan syurga seseorang anak itu sebagai di bawah tapak kaki ibunya.
Seorang bapa pula akan bekerja keras demi menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan dan keperluan lain yang sempurna untuk keluarganya, terutama dalam usaha memastikan kesempurnaan masa depan anak-anaknya. Dari kecil setiap orang anak diberi belaian sepenuh kasih sayang. Ibu bapa menjaga mereka supaya sentiasa sihat dan selamat dari segala bahaya. Setiap ibu bapa yang bertanggungjawab akan mendidik anak-anak mereka dengan didikan keagamaan serta memberi pendidikan formal selengkapnya, kerana mereka mahukan anak-anak mereka hidup sebagai insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Setiap ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi kesempurnaan dan kebahagiaan anak-anak mereka. Mereka sanggup mengorbankan masa, wang atau harta, demi membesarkan anak-anak dengan sempurna. Malah ibu bapa sanggup berkorban nyawa demi kasih dan sayang mereka kepada anak-anak. Setiap kesakitan dan keperitan anak-anak seolah mahu digalang-ganti oleh setiap ibu dan bapa. Sesungguhnya kerana kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang terlalu besar terhadap anak-anak mereka, maka Allah s.w.t telah menempatkan mertabat ibu bapa sebagai tempat kedua tertinggi selepas mertabat Allah s.w.t.
Allah s.w.t. telah berfirman: " Janganlah kamu berkata kasar kepada kedua ibu bapa, jangan kamu herdik, dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia dan berlemah lembut kepada keduanya, dan rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya. Dan hendaklah kamu katakan; Wahai Tuhanku, berilah rahmat kepada keduanya kerana mereka telah mendidikku ketika aku masih kecil ". (Surah Al-Isra': Ayat 23-24)
Ingatlah, bahawa Allah s.w.t meyertai setiap kemarahan ibu bapa terhadap anaknya. Anak-anak yang menyebabkan kemarahan ibu bapa kepada mereka akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat, kerana mereka juga mendapat kemarahan Allah s.w.t. Taatlah kepada ibu bapa selepas mentaati Allah s.w.t. Janganlah sekali-kali kita menderhaka kepada mereka, melainkan mereka menyuruh ke arah kemaksiatan dan kufur kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. melarang mentaati manusia yang derhaka kepada Allah s.w.t. Namun Allah s.w.t. tetap menyuruh seorang anak menolak permintaan ibu bapanya dengan cara yang baik. Setiap anak yang taat dan patuh kepada ibu bapa telah dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah berfirman mengenai kesusahan ibu mengandung dan memberi perintah kepada manusia supaya mentaati kedua ibu bapanya:
" Kami ingatkan kepada manusia supaya ia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkan ia dengan berbadan lemah, berlipat ganda (ketika) melahirkannya, menyusukannya, dan menceraikannya dari susuan setelah dua tahun. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepadaKu, dan kepada kedua ibu bapa kamu dan kepada Aku kembali ". (Surah Luqman; Ayat 14).
Jelaslah bahawa ketaatan anak-anak terhadap ibu bapa begitu penting di sisi Allah s.w.t. Setiap anak yang menderhaka atau mengabaikan ibu bapanya seolah sengaja menempah kunci neraka. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mentaati perintah ibu bapa serta memuliakan mereka sewaktu hidup, dan mendoakan roh mereka setelah kematian mereka.
3) i- Peliharalah Hak Suami (Wanita)
Apabila seorang wanita telah berkahwin, gugurlah semua tanggung jawab ibu dan bapanya kerana suaminya akan memikul segala kewajipan tersebut. Dengan itu Allah s.w.t. telah menjadikan kewajipan bagi setiap wanita mentaati suaminya sebagaimana dia telah mentaati ibu bapanya sebelum berkahwin. Syurga bagi seorang wanita yang telah berkahwin adalah di bawah tapak kaki suaminya. Amat senang bagi wanita yang mentaati Allah s.w.t. (dengan menjaga solat, puasa, menutup aurat) dan menjaga kebajikan suaminya, untuk memasuki syurga.
ii- Peliharalah Hak Saudara (Lelaki)
Seorang lelaki Islam diwajibkan menjaga hak saudaranya iaitu saudara sedarah, saudara seagama, baik yang berdekatan mahupun yang berjauhan darinya (keutamaan adalah kepada jirannya). Islam meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga dan ummah. Rasul-rasul Allah s.w.t semuanya terdiri dari kaum lelaki. Mereka diberi tanggung jawab yang berat sesuai dengan fizikal yang kuat dan penguasaan akal yang lebih daripada nafsu, berbanding dengan kaum wanita yang bersifat lemah-lembut, sesuai sebagai ibu yang membimbing dan mendidik anak-anak, di samping menjaga kebajikan keluarganya.
Sebagai seorang ketua,lelaki islam mesti peka kepada keadaan saudara-saudaranya. Islam menekankan kasih sayang dan kesaksamaan kepada umatnya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
" Tidak akan masuk ke syurga seseorang itu jika dia tertidur kekenyangan sedangkan dia mengetahui jirannya dalam kelaparan".
Allah s.w.t. telah mewajibkan zakat harta dan zakat perniagaan demi menjaga kepentingan golongan yang serba kekurangan.
Lelaki islam juga diwajibkan mempertahankan maruah saudara dan keturunannya, menjaga hak agama saudara seislamnya. Pada zaman Rasulullah s.aw. serta para sahabat, orang-orang lelaki islam sentiasa mencari peluang untuk berjihad membantu saudara-saudara islamnya yang teraniaya oleh pihak pemerintah kafir. Mereka sanggup merentasi gurun dan lautan demi menjaga hak saudara seagamanya. Jihad juga adalah jalan pintas bagi kaum lelaki memasuki syurga Allah s.w.t.
Golongan miskin wajib dibantu.