Wednesday, September 02, 2009

Ilmu Membina Tamadun Ummah

Wahyu pertama yang diturunkan Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah Iqra' dalam surah Al-'Alaq. Melalui surah ini Allah telah menyeru manusia agar membaca,belajar dan menerokai ilmu pengetahuan. Islam menobatkan ilmu pengetahuan sebagai asas yang mencorak peradaban dan ketamadunan manusia. Era Islamisasi telah melahirkan dua jurang zaman iaitu zaman jahiliah dan zaman Islam sebagai addin yang menggariskan dengan terperinci etika kehidupan yang berperadaban. Umat Islam terdahulu telah membuktikan adaptasi ajaran Islam sebagai satu cara hidup boleh membangunkan sosio-ekonomi dan sosiolisasi masyarakat di bumi Arab. Kota Madinah terbina dari kemantapan gabungan ilmu pengetahuan kaum Muhajirin dan Ansar setelah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. bersama pengikut Islam dari Kota Mekah, yang dipenuhi oleh Arab jahiliah. Kota Madinah kemudiannya berkembang sebagai kota ilmu dan perdagangan dunia.

Ulama' Islam tersohor iaitu Imam Syafi'e telah berpesan, bahawa manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi akan dimuliakan dalam masyarakat. Seorang ahli sosiologi Islam, Ibnu Khaldun dalam kitabnya, Al-Mukddimah pula menegaskan, ilmu itu perlu dipraktikkan demi melahirkan ummah ulul al-bab, iaitu yang beriman, bertanggungjawab, beramanah serta mempunyai keupayaan daya fikiran yang tinggi. Pengabaian dalam mendidik generasi muda akan menyebabkan ketamadunan sesuatu bangsa hancur dan pupus kerana tidak ada kemampuan untuk meneruskannya.

Dilema yang dihadapi dalam membangunkan ummah hari ini adalah pembentukan suatu format yang tidak formal bagi penjanaan model 'pendidikan kehidupan' yang mempunyai nilai dan etika murni untuk dijadikan teladan, di rumah dan di persekitaran, selain pendidikan formal di institusi pendidikan. Teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa di rumah amat besar pengaruhnya ke atas generasi muda, selain pengaruh persekitaran dan masyarakat. Ruang pengajaran dan pembelajaran ilmu pengetahuan yang positif akan memberikan impak yang positif kepada anak-anak dan generasi muda. Begitu pula sebaliknya, kegagalan ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan awal dan keimanan yang mantap akan menyebabkan mereka terdedah dan cepat terpengaruh dengan nilai-nilai negatif dari persekitaran dan segelintir masyarakat. Justeru, pendidikan kehidupan seawal dalam kandungan perlu dipraktikkan demi menjamin masa depan ummah yang berkualiti. Ibu-ibu mengandung disaran memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an kerana janin mereka boleh mendengar bacaan tersebut.

Islam adalah
agama yang lengkap. Kalimah-kalimah azan misalnya, menyeru manusia mentauhidkan Allah, tuhan yang Maha Pencipta serta mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. (memberi hak untuk dihormati dan diikuti kepada pemilik dan pemimpin), menyeru manusia mengerjakan solat( iaitu mengajar manusia berdisiplin dan mempraktikkan rukun serta perundangan, bukan sekadar ucapan), dan akhirnya azan menyeru manusia bersama menuju kejayaan (dengan ilmu pengetahuan dan etika kehidupan yang lengkap manusia berpeluang mendapat kejayaan di dunia dan akhirat). Jika kalimah-kalimah azan dan pengertiannya dipraktikkan, setiap manusia akan membina kendiri yang unggul.

Permasaalahan sumber mendapatkan ilmu pengetahuan juga dihadapi oleh umat Islam di peringkat global. Pembangunan
ketamadunan umat Islam telah jauh tercicir dan diungguli oleh negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat. Di Amerika, dengan jumlah penduduknya hanya 5 peratus dari penduduk dunia, terdapat 54 buah, iaitu 27 peratus dari 200 buah universiti terbaik dunia. Di kalangan 46 buah negara-negara Islam di dunia yang majoriti penduduknya Muslim (yang membentuk 16 peratus dari penduduk dunia), hanya dua buah universiti yang tersenarai dalam Times Higher Education Supplement (THES). Ke dua universiti ini terletak di Asia Tenggara, di Malaysia, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM), yang hanya berjaya menduduki tempat ke 185 dan 192.

Demi membangkitkan semula ketamadunan ummah, umat Islam menerusi
Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), perlu bertindak segera menubuhkan sekretariat pendidikan dunia Islam, demi memberi acuan pendidikan bercorak Islam dengan meminggirkan kepentingan politik, ketenteraan, serta perbezaan mazhab dan pendapat. Bangkitkan kembali kota-kota ilmu dunia Islam seperti kota-kota Damsyik, Baghdad dan Kaherah di era kecemerlangan Islam dahulu. Usaha ini perlu disegerakan jika umat Islam tidak mahu ketamadunan ummah tenggelam oleh acuan negara Barat dan menjadi warga dunia yang kehilangan tamadun, yang akhirnya akan membawa kepada kepupusan ummah. Penghapusan etnik Islam Palestin oleh Yahudi (Israel) dan Islam Kosovo oleh puak Serbia, serta kependudukan masyarakat Khatolik Portugal dan Sepanyol di Kota Andulisia sepatutnya menjadi tamparan dan pengajaran supaya umat Islam bersatu dan bangkit mengejar pembangunan dan ketamadunan agar tidak terus ditindas.


Sehingga bertemu lagi, Salam ukhwah dari Sue.



Rujukan: - PembinaanTamadun: Md Shukri Shuib, Al-Islam Jun 2007
- Wasiat Imam Syafi'e: Abu Qamar Salahuddin, www.Darulnuman.
- Bimbingan Mukminin: Imam Al-Ghazali

No comments:

2

3

4 Ish, ish, ish.... Tak leh dok diam ke ni...?